Hadis Qudsi
Hadis Al-Qudsi
Takrif Hadis Al-Qudsi adalah hadis yang diriwayatkan oleh Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam daripada Allah Azza wa Jalla kadangkala dengan perantaraan Jibril ‘alaihi salam, kadangkala dengan perantaraan wahyu atau ilham atau mimpi. Lafaz hadis ini terpulang kepada Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam untuk mengucapkannya. Tiada perbezaan mahupun percanggahan antara hadis Al-Qudsi dengan hadis An-Nabawi melainkan pada isnadnya terus kepada Allah Subhana wa Ta’ala.
Peranan Hadis Qudsi Biasanya hadis Al-Qudsi lebih tertumpu ke arah pembinaan dan pembentukan jiwa insani yang lurus, iaitu menyeru kepada kebaikan, kelebihan dan akhlak-akhlak mulia, memandu nafsu agar mencintai Allah yang Maha Agung dan berusaha memperoleh keredhaan-Nya. Semua hadis ini diambil dari kitab Mustika Hadis-Hadis Al-Qudsi Sahih karangan ‘Isomuddin bin Sayyid Abdul Robbuni Al-Soobaathi. Hadis di dalam kitab ini tidak diubah sedikit pun, kecuali bahagian penjelasan dan pengajaran, telah diringkaskan dan ditambah sedikit dari segi perkataan dan contoh-contoh tanpa menyalahi maksud sebenar dari kitab. Wallahu’alam.
Amaran Terhadap Perbuatan Syirik dan Kelebihan Tauhid
~ Dari Anas r.a : Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam bersabda, “Allah Ta’ala berfirman kepada orang yang menerima azab yang paling ringan pada hari kiamat; ‘Jika kamu mempunyai sesuatu di atas permukaan bumi sebagai tebusan, adakah kamu menebus azab ini dengannya?’ Orang itu pun menjawab, ‘Ya’. Allah Ta’ala pun berfirman, ‘Aku menghendaki darimu agar melakukan sesuatu yang lebih mudah dari ini sewaktu kamu berada di dalam tulang sulbi Adam (iaitu) agar kamu tidak mempersekutukan sesuatu dengan-Ku, namun kamu telah ingkar (enggan) melakukannya, melainkan kamu telah mempersekutukan Daku.” (Sahih, Al-Bukhari dan seumpamanya oleh Imam Ahmad) [001]
Penjelasan dan Pengajaran:
a. Sesuatu yang dikehendaki Allah SWT yang lebih mudah iaitu iman. Iman bermaksud melafazkan kalimah tauhid dengan lidah (lisan), meyakini dengan sepenuh hati dan melaksanakannya dengan fizikal atau anggota badan (beramal).
b. Syirik bermaksud mempersekutukan Allah SWT dengan sesuatu yang lain seperti menyembah berhala, memuja kubur, menganggap Nabi Isa a.s sebagai anak tuhan dan sebagainya. Syirik juga boleh membawa makna terdapat kuasa lain yang lebih berkuasa dari kekuasaan Allah SWT, seperti percaya pada tangkal dan lain-lain.
c. Syirik boleh juga terjadi melalui perkataan atau percakapan kita sehari-hari seperti “Kejayaan aku hari ini adalah kerana usaha aku!”, sama seperti percakapan Qarun dalam Surah Al-Qasas [28] : 78, contoh dua: “Jika tiada ubat ini, tentulah aku mati,” dan yang seumpama dengannya. d. Rujuk Surah Al-A’raaf [7] : 172, perihal janji manusia kepada Allah SWT sebelum dilahirkan.
~ Dari Anas r.a: Nabi Sallalahu Alaihi Wasallam bersabda, “Seorang kafir akan ditampilkan ke muka (pengadilan) pada hari kiamat, lalu dikatakan kepadanya; ‘Apa pandangan kamu sekiranya kamu mempunyai emas sepenuh bumi, adakah kamu akan menggunakannya sebagai tebusan (untuk menggantikan azab yang kamu rasai)?” Si kafir itupun berkata, ‘Ya.’
Sabda Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam, “Maka dikatakan kepada si kafir itu, ‘Sesungguhnya Aku telah meminta dari kamu suatu yang lebih mudah dari sedemikian itu.’ Yang sedemikian itu adalah Firman Allah Azza wa Jalla (maksudnya) : Sesungguhnya orang-orang kafir dan mati sedangkan mereka tetap dalam kekafirannya, maka tidaklah akan diterima dari seseorang dari mereka emas sepenuh bumi, walaupun dia menebus diri dengan emas (yang sebanyak) itu…….” (Surah Ali Imran [3] : 91) [003] (Sahih, Imam Ahmad. Hadis di dalam kitab Kanzul Ummal - Al-Hindi)
Penjelasan dan Pengajaran:
a. Iman dan tauhid itu menjadi tempat perlindungan dari azab Allah SWT di alam akhirat. Pemahaman yang benar mengenai tauhid dan iman wajib dipelajari oleh segenap orang yang mengaku beragama Islam.
b. Tiada azab yang paling pedih dan dahsyat melainkan azab ‘Khulud’, iaitu tinggal kekal dalam neraka selama-lamanya.
c. Jika ada orang-orang munafik dan kafir bertanya, “Adilkah Allah SWT menyiksa orang-orang kafir dalam neraka untuk selamanya, walhal mereka hanya hidup selama beberapa tahun di dunia?” Jawablah, sekiranya mereka diberi kehidupan seribu tahunpun mereka tetap tidak berniat untuk beriman kepada Allah SWT kerana hati dan mata mereka buta pada kebenaran. Sesungguhnya Allah yang Maha Mengetahui. (Rujuk Surah Al-An’aam [6] : 28)
~ Dari Abu Hurairah r.a : Nabi Sallalahu Alaihi Wasallam bersabda, “(Nabi) Ibrahim bertemu dengan bapanya Aazar pada hari kiamat. Pada muka Aazar terdapat tanda-tanda legam bagaikan terkena asap (akibat ketakutan terhadap kedahsyatan hari kiamat tersebut) dan dicemari dengan debu. Lalu Ibrahim berkata kepadanya, ‘Tidakkah aku telah memberitahumu agar jangan mengingkari daku (seruan dakwahku)?’
Bapanya pun menjawab, ‘Maka pada hari ini aku tidak akan mengingkari kamu.’ Ibrahim pun berkata padanya, ‘Wahai Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah berjanji denganku agar tidak menghinakan daku pada hari di mana semua manusia dibangkitkan (dari kubur masing-masing), maka apakah kehinaan yang lebih dahsyat dari kehinaan yang menimpa bapaku yang terjauh dari rahmat (syurga)Mu?’ Allah Azza wa Jalla berfirman : ‘Sesungguhnya aku mengharamkan syurga itu ke atas orang-orang kafir.’ Kemudian dikatakan kepada Ibrahim, ‘Wahai Ibrahim, apakah yang berada di bawah kedua kakimu?’
Lalu Ibrahim pun melihat ke bawah kedua-dua kakinya dan beliau mendapati seekor serigala hutan yang diselaputi oleh tanah berlumpur. Kemudian serigala itu ditangkap dengan dipegang kakinya lalu dicampakkan ke dalam api neraka.” [004] (Sahih, Al-Bukhari dan seumpamanya dikeluarkan oleh Al-Hakim di dalam Al-Mustadrak dan diringkaskan oleh Al-Bukhari. Dikeluarkan oleh An-Nasa’i di dalam kitab sunannya (As-Sunan Al-Kubra), seperti yang dikatakan oleh Al-Mazzi di dalam kitab Tuhfatul Asyraf)
Penjelasan dan Pengajaran :
a. Hadis menjelaskan secara mendalam mengenai orang yang ingkar kepada Allah SWT pada hari kiamat. Kata-kata Nabi Ibrahim a.s pada bapanya bukanlah cercaan, tetapi seolah-olah menyesali sikap bapanya yang enggan menerima dakwahnya.
b. Keimanan pada hari kiamat adalah tidak bermanfaat kerana tidak beriman ketika hidup di dunia. Marilah kita beriman dengan sebenar-benar iman sebelum terlambat.
c. Bapa tidak dapat memberi manfaat, anak juga tidak dapat memberi manfaat kecuali Allah SWT menghendaki atau diizinkan oleh-Nya. d. Pertukaran Aazar kepada seekor serigala hutan oleh Allah SWT, sehingga Nabi Ibrahim a.s tidak mengenalinya. Inilah hakikat hari kiamat, hubungan kekeluargaan tidak mempunyai erti apa-apa, yang tinggal hanya keimanan yang diadili pada hari kiamat. Hanya Amalan yang Ikhlas Diterima Oleh Allah SWT – (Golongan Manusia yang Pertama Dihisab di Hari Penghisaban)
~ Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam bersabda, “Manusia yang awal-awal akan diadili pada hari kiamat adalah seorang lelaki yang telah mati syahid. Lalu lelaki itu dibawa ke muka (pengadilan-pent). Allah SWT telah memperingatkan kepadanya segala nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepadanya, lantaran itu, lelaki itupun mengakui akan segala nikmat kurniaan Allah SWT tersebut.
(i). Allah SWT bertanya kepadanya (sedangkan Dia Maha Mengetahui): ‘Maka apakah yang telah dikau lakukan dengan nikmat-nikmat itu?’ Lelaki itupun menjawab: ‘Aku berperang kerana-Mu sehinggalah aku mati mati syahid.’Allah SWT berfirman: ‘Kamu berdusta. Akan tetapi kamu berperang supaya kamu dipanggil seorang yang berani. Oleh yang demikian, sesungguhnya kamu telah telahpun dipanggil sedemikian.’ Kemudian Allah SWt memerintahkan agar lelaki itu dicampakkan ke dalam api neraka, lalu beliaupun ditarik dengan mukanya ke bawah hinggalah dicampakkan ke dalam api neraka.
(ii). Dan seorang lelaki yang mempelajari ilmu (agama) dan mengajarkannya. Beliau juga membaca Al-Quran (ataupun seorang yang mahir dalam pembacaan Al-Quran). Lelaki itupun dibawa menghadap Allah SWT. Allah SWT memperingatkan segala nikmat yang diberikan kepadanya. Lelaki itu mengakui akan penerimaan semua nikmat tersebut. Allah SWT berfirman kepadanya : ‘Oleh itu, apakah yang telah kamu lakukan dengannya?’ Lelaki itupun menjawab : ‘Aku telah mempelajari ilmu dan mengajarkannya (kepada orang lain). Aku telah membaca Al-Quran semata-mata kerana-Mu.’ Allah SWT berfirman kepadanya : ‘Kamu berdusta. Akan tetapi kamu telah mempelajari ilmu supaya kamu dipanggil sebagai seorang ‘alim dan kamu telah membaca Al-Quran supaya dipanggil seorang qari. Sesungguhnya kamu telahpun dipanggil sedemikian. Kemudian Allah SWT telah memerintahkan kepada malaikat agar lelaki itu dibawa pergi dan diheret dengan mukanya ke bawah hinggalah beliau dicampakkan ke dalam api neraka.
(iii). Begitu juga seorang lelaki yang telah diperluaskan oleh Allah SWT untuknya segala jenis harta kesemuanya. Lelaki itu pun dihadapkan ke muka. Allah SWt memperingatkan segala nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepada lelaki tersebut lalu lelaki itu mengakuinya. Allah berfirman kepada lelaki itu : ‘Maka apakah yang telah kamu lakukan dengan kesemua harta itu?’ Lelaki itu menjawab : ‘Tidaklah aku tinggalkan walaupun satu jalan yang disukai agar dibelanjakan harta untuknya melainkan aku telah membelanjakan hartaku semata-mata kerana-Mu.’ Allah berfirman : ‘Kamu berdusta. Akan tetapi kamu telah melakukan semua itu agar kamu dipanggil seorang dermawan. Sesungguhnya kamu telahpun dipanggil sedemikian. Kemudian diperintahkan agar lelaki itu dibawa pergi lalu beliau ditarik dengan mukanya ke bawah dan kemudian dicampakkan ke dalam api neraka.” [011] (Sahih, Muslim, Ahmad, An-Nasa’i dan Al-Hakim)
Penjelasan dan Pengajaran :
a. Diperjelaskan kepada kita mengenai balasan orang-orang yang tidak ikhlas untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT. Mereka berbuat kebaikan demi kepentingan dunia dan diri mereka semata-mata.
b. Hendaklah melaksanakan ibadah dengan niat kerana Allah SWT dan untuk memperoleh keredhaan-Nya. (Sila rujuk Sahih Bukhari dalam hadis pendahuluan)
c. Hadis ini perlu dijadikan pengajaran bagi setiap lapisan masyarakat kerana segala nikmat Allah SWT akan ditanya untuk apa kita gunakan di dunia ini, terutama para ilmuwan, hartawan dan mereka yang mendakwa berjihad di jalan Allah SWT. Adakah kita benar-benar mengikut jalan yang ditunjuk oleh Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam dan para sahabat? Syirik - Perkara yang Paling Ditakuti Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam Atas Umatnya
~ Dari Mahmud bin Labid r.a : Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam bersabda, “Sesungguhnya perkara yang paling aku takuti atas kamu adalah syirik asghar (syirik kecil).” Para sahabat bartanya, ‘Ya Rasulullah, apa kah syirik asghar itu?’
Baginda Sallalahu Alaihi Wasallam menjawab, “Riya’. Sesungguhnya Allah Tabaaraka wa Ta’ala berfirman pada hari semua amalan-amalan diganjari, ‘Pergilah kamu kepada orang-orang yang telah kamu perlihatkan amalan-amalan kamu kepada mereka dan lihatlah samada ada balasan di sisi mereka itu (untuk kamu).” [014] (Sahih, dikeluarkan oleh Ahmad, Al-Baghawi dalam Syarhul As-Sunnah. Kanzul Ummal dan At-Targhib wa Tarhib lil Al-Hafidz Al-Mundziri)
Penjelasan dan Pengajaran :
a. Amaran terhadap perbuatan riya’ iaitu, orang yang menunjuk-nunjuk amalannya kepada orang lain bagi memperoleh maksud tertentu, seperti bangga diri - ingin dikenali sebagai orang berilmu kerana amalan yang dilakukan dan lain-lain seumpamanya.
b. Perkataan ‘syirik kecil’ bukanlah bermakna meringan-ringankan perkara syirik, tetapi cukuplah dengan dosa yang bakal diperoleh oleh si pelaku. Perlu diingat, ini adalah perkara yang paling ditakuti Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam ke atas umatnya.
c. Hari di mana segala rahsia terbongkar dan para pelaku riya’ berasa amat sengsara dan menyesal sekali kerana disuruh meminta pengurniaan pahala daripada orang yang mereka perlihatkan amalan itu.
~ Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam bersabda, “Allah Azza Jalla berfirman, ‘Hamba-Ku akan berterusan bertanya tentang Daku’ : Allah ini telah menciptakan aku, maka siapakah pula yang menciptakan Allah?” [016] (Sahih Bukhari dan Muslim)
Penjelasan dan Pengajaran :
a. Apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam benar-benar telah terjadi seperti sebuah hadis di dalam Musnad Imam Ahmad; seorang lelaki dari Iraq telah bertanya pada Abu Hurairah r.a, siapakah yang menciptakan Allah, lalu Abu Hurairah r.a menutup telinganya dan berteriak, “Benarlah Allah dan Rasul-Nya!” kemudian membaca Surah Al-ikhlas.
b. Tambahan: Telah muncul zaman kita ini, tentang fahaman ‘Scientology’ yang kini menular di Malaysia. Golongan ini mengingkari takdir dan mengatakan setiap yang berlaku ada penjelasan sains tentangnya. Manusia semua bebas tanpa terikat dengan peraturan alam. Moga kita dilindungi oleh Allah yang Maha Penyayang dari tergolong di kalangan mereka ini. Pagi Seorang Mukmin, Petang Menjadi Kafir
~ Dari Zaid bin Kholid Al-Juhni r.a : Beliau telah berkata, Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam telah bersolat subuh dengan kami di Hudaibiyyah di penghujung malam. Apabila selesai bersolat, baginda berpaling menghadap ke arah orang ramai (para sahabatnya) seraya bersabda, “Adakah kamu sekalian mengetahui apakah yang difirmankan oleh Tuhan kamu?” Mereka menjawab ‘Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.’
Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam pun bersabda, “Allah berfirman, ‘Berpagi-pagi hamba-hamba-Ku beriman dengan-Ku. Maka adapun orang-orang yang berkata, ‘Kami diberi hujan justeru dengan kurniaan Allah SWT dan rahmat-Nya’, orang yang berkata sedemikian itu adalah orang yang beriman dengan-Ku dan kufur dengan bintang-bintang.
Dan adapun orang yang berkata, ‘Kami diberi hujan disebabkan bintang yang condong ke arah barat ini dan itu’, maka orang yang berkata sedemikian adalah orang yang kufur dengan-Ku dan beriman dengan bintang (syirik-pent).” [017] (Sahih. Dikeluarkan oleh Imam Malik, Imam Syafi’e dalam musnadnya, Imam Al-Bukhari dan Muslim, Abi ‘Awanah dan Al-Baihaqi)
Penjelasan dan Pengajaran :
a. Mereka yang beriktikad bahawa hujan turun adalah kerana, ketika bintang itu condong ke barat, maka hujan akan turun ketika itu (menolak kekuasaan Allah SWT). Padahal Allah SWT yang menurunkan hujan (rujuk Surah An-Naba’ [78] : 14-16).
b. Tambahan Blog : Perlu berhati-hati ketika mengeluarkan perkataan atau percakapan seperti orang zaman ini berkata, ’Hujan turun kerana bulan Disember’, atau ‘manusia boleh membuat hujan melalui pembenihan awan’ dan lain-lain percakapan yang menidakkan kekuasaan Allah SWT. Semoga Allah yang Maha Penyayang melindungi kita dari kekufuran. Mencerca Masa
~ Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam bersabda, “Allah Azza wa Jalla berfirman : Anak Adam menyakiti Aku dengan mengutuk zaman (masa) dan Aku adalah zaman. Aku membolak-balikkan malam dan siang. Maka jika Aku menghendaki, Aku akan menggenggam kedua-duanya (malam dan siang).” [025] (Sahih. Dikeluarkan oleh Al-Hakim, Al-Baihaqi)
Al-Hakim telah memulakan hadis di atas dengan kata-kata perawinya, Sufyan bin ‘Uyainah : Orang-orang jahiliyah telah berkata, ‘Sesungguhnya zaman (masa) itulah yang membinasakan kita semua. Dialah (perjalanan masa) yang mematikan dan menghidupkan kita.’ (Maksudnya, kaum jahiliyah menolak kekuasaan Allah yang Maha Agung). Penciptaan Makhluk Di Dalam Rahim Ibunya
~ Dari Abdullah bin Mas’ud : Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam bersabda, “Penciptaan salah seorang kamu disempurnakan dalam rahim ibunya sepanjang tempoh beberapa kali (dalam) empat puluh hari. Empat puluh hari yang kedua dalam bentuk segumpal darah kemudian dalam empat puluh hari yang ketiga dalam bentuk segumpal daging.
Kemudian Allah mengutuskan malaikat kepadanya lalu diperintahkan agar menulis untuknya empat kalimah dengan firman-Nya : ‘Tulislah baginya amalannya, ajalnya, rezekinya dan samada celaka atau bahagia.’
Maka demi Dia yang memegang jiwa ku di dalam genggaman-Nya, sesungguhnya (jika) seseorang dari kalangan kamu beramal dengan amalan ahli syurga hinggalah jarak beliau dengan syurga itu hanyalah satu hasta, maka sebagaimana telah dituliskan ketentuannya (sebagai ahli neraka) lalu beramallah beliau dengan amalan ahli neraka, justeru itu beliaupun masuk neraka. Dan sesungguhnya (jika) seseorang dari kamu beramal dengan amalan ahli neraka hinggalah jarak beliau dengan neraka itu hanyalah sehasta, namun telah ditetapkan ketentuan (takdir) untuknya (sebagai ahli syurga) lalu beliaupun beramal dengan amalan ahli syurga, justeru itu beliaupun masuk syurga.” [040] (Sahih. Dikeluarkan oleh Ibnu Majah, Imam Ahmad dan hampir seumpama lafaznya juga yang telah dikeluarkan oleh Al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, dan At-Tirmidzi)
Keterangan Hadis: Begitu banyak pengajaran yang terdapat dalam hadis ini, namun kesimpulannya adalah mengagungkan kekuasaan Allah yang Maha Tinggi. Selain itu kita wajib beriman kepada qada dan qadar ini dan bersangka baik kepada Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Jika kita merasakan bahawa kita adalah ahli syurga, maka berusahalah menuntut ilmu agar kita dapat beramal dengan amalan ahli syurga. Maksudnya, hadis ini memberi dorongan atau motivasi kepada kita untuk berusaha mendapatkan syurga. Hadis ini juga mengajar kita supaya tidak sombong dan memandang rendah pada orang lain kerana syurga dan neraka itu milik Allah yang Maha Agung dan Dia boleh memberi kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.
Tambahan: Mengenai penciptaan dalam masa empat puluh hari itu bererti keseluruhannya dalam tempoh masa empat puluh hari, bukan tiga atau empat bulan. Begitulah kajian ulama kini. Sila rujuk kajian Prof. Dr. Sharaf al-Qudhah [Fakulti Syariah, Universiti Jordan] dan diterjemahkan oleh Zulkifli Hj Mohd Yusoff Abdurrahim Yapono [Universiti Malaya] dalam bukunya berjudul ‘Bilakah Waktu Janin Ditiupkan Roh?’. Pena (Al-Qalam)
~ Dari Ubadah bin As-Somit r.a : Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam bersabda, “Sesungguhnya yang pertama-tama diciptakan oleh Allah adalah ‘Al-Qalam’. Allah berfirman kepadanya : ‘Tulislah.’ Al-Qalam pun berkata : ‘Apakah yang aku akan tulis?’ Allah berfirman : ‘Tulislah akan qadar (takdir) dan apa yang terjadi untuk selama-lamanya.” [041] ( Sahih. Dikeluarkan oleh At-Tirmidzi dan Abu Daud At-Tayaalisi)
Penjelasan dan Pengajaran :
[a]. Allah yang Maha Agung telah menetapkan semua takdir pada apa sahaja perkara yang berlaku dan akan berlaku selama-lamanya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Pencipta segala sesuatu.
[b]. Allah Maha Mengetahui sejak azali bahawa jika seseorang itu melakukan kejahatan atau kebaikan setelah mereka diberi hak untuk membuat pilihan.
[c]. Keimanan seseorang hamba tidak akan sempurna jika tidak mengimani perkara takdir ini dan hendaklah mereka menerima baik atau buruk sesuatu takdir dengan redha.
Bab Solat: Bangun Di Waktu Malam
~ Dari ‘Uqbah bin ‘Amir Al-Juhni r.a : Nabi Sallalahu Alaihi Wasallam bersabda, “Dua orang lelaki dari kalangan umat ku; salah seorang dari mereka bangun di waktu malam seraya melawan keinginannya untuk terus tidur dan malas beribadat, lalu berwudhuk. Diikat pada tubuhnya (orang yang tidur) beberapa ikatan (oleh syaitan).
Maka apabila beliau berwudhuk dan mewudhukkan kedua-dua tangannya, terlepaslah satu ikatan. Dan apabila dia mewudhukkan wajahnya terlepaslah pula satu ikatan. Apabila mengusap wajahnya, terlepaslah pula satu ikatan. Apabila mengusap kepalanya terlepas lagi satu ikatan dan apabila beliau mewudhukkan kakinya terlepas pula ikatan yang lain.
Maka Allah Azza Wa Jalla berfirman kepada mereka yang berada di sebalik hijab (para malaikat) : ‘Kamu lihatlah kepada hamba-Ku ini. Beliau melawan keinginan (untuk terus tidur dan beribadat) nafsunya, lalu meminta (berdoa selepas solat) dari-Ku. Oleh itu, apa sahaja yang dipinta oleh hamba-Ku maka itulah miliknya (doanya dimakbulkan oleh Allah yang Maha Tinggi).
Penjelasan dan Pengajaran :
[a]. Sesungguhnya seseorang Muslim apabila hendak melakukan kebaikan atau beribadah memerlukan tahap kesabaran yang tinggi dan kekuatan menentang penguasaan syaitan ke atas dirinya.
[b]. Di antara senjata untuk melawan penguasaan syaitan ke atas diri adalah dengan berwudhuk.
[c]. Allah yang Maha Agung mencintai seseorang mukmin yang berjuang melawan penguasaan syaitan ke atas dirinya dengan merawatinya melalui berbuat ketaatan. Hasilnya Allah yang Maha Agung menerima doa yang dipanjatkannya.
Malaikat Pencatat Amalan
~ Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam bersabda, “Malaikat-malaikat pencatat amalan yang dilakukan di waktu malam dan siang silih berganti mencatat amalan-amalan kamu. Mereka berkumpul di waktu solat Asar dan solat Subuh.
Kemudian malaikat yang bermalam di kalangan mereka naik. Allah bertanya kepada mereka (sedangkan Allah Maha Mengetahui) : ‘Dalam keadaan bagaimanakah kamu meninggalkan hamba-hambaKu?’ Mereka menjawab : ‘Kami meninggalkan mereka dalam keadaan mereka bersolat dan kami telah datang kepada mereka dalam keadaan mereka juga bersolat.” [062] (Sahih. Dikeluarkan oleh Imam Malik. Al-Bukhari dan Muslim, Imam Ahmad, Abu ‘Awanah dan Al-Baghowi)
Penjelasan dan Pengajaran :
[a]. Para malaikat pencatat amalan itu terbahagi kepada dua golongan; [1]. Golongan yang bertugas dari fajar hingga ke solat Asar [2]. Golongan yang bertugas dari solat Asar hingga kef ajar berikutnya.
[b]. Manusia seharusnya sedar; segala perbuatannya, siang dan malam dicatat oleh malaikat sebagai bukti dan saksi apa yang telah kita lakukan ketika hidup di dunia ini pada hari pembalasan nanti.
Solat Adalah Amalan yang Pertama Dihisab
~ Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam bersabda, “Sesungguhnya amalan pertama akan dihisab pada seseorang hamba ialah solatnya. Jika solatnya baik maka sesungguhnya beliau telah berjaya dan selamat dan sekiranya solatnya rosak maka sesungguhnya rugi dan binasalah ia. Sekiranya berlaku sesuatu kekurangan pada solat fardhunya, maka Tuhan Pemelihara Azza wa Jalla akan berfirman (kepada para malaikat-Nya) : Lihatlah oleh kamu adakah hamba-Ku mempunyai ibadat tathowwu’?
Lalu solat fardhunya itu disempurnakan dengan solat tathowwu’-nya itu. Kemudian seluruh amalan dihisab sedemikian juga.” [065] (Sahih. Dikeluarkan oleh At-Tirmidzi dan An-Nasa’i. Juga dikeluarkan oleh Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah, Al-Hakim dll dengan lafaz sedikit berbeza)
Penjelasan dan Pengajaran :
[a]. Ibadat tathowwu’ adalah salah satu dari cabang amalan-amalan mandub (sunat). Antara contoh ibadat tathowwu’ seperti sedekah, puasa Isnin dan Khamis, solat sunat dan sunat muakkad. Dipanggil juga sunat tambahan atau nafilah. (Sila rujuk ilmu usul fiqh).
[b]. Mengenai kekurangan solat fardhu, ulama mempunyai pelbagai pendapat. Antaranya, kekurangan kerana kurang khusyuk dalam solat, kekurangan bilangan solat fardhu, kekurangan kesempurnaan solat dan lain-lain. Namun ulama memilih kekurangan pada bilangan solat fardhu yang ditinggalkan lebih sesuai dalam mentakrif hadis tersebut.
[c]. Jangan sesekali kita memandang remeh ibadah sunat. ‘Ibadah sunat adalah perkara yang apabila dikerjakan, mendapat pahala yang boleh menyelamat dari azab dan apabila ditinggalkan, akan mengalami kerugian yang besar’.
Tertolak Solat yang Tidak Dibacakan Al-Fatihah
~ Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam bersabda, “Barangsiapa yang mengerjakan satu solat tanpa Ummul Quran (Al-Fatihah) maka beliau seorang penipu (diulang tiga kali), (iaitu) tidak sempurna.”
Lalu ditanya (oleh orang) kepada Abu Hurairah : “Sesungguhnya (jika) kami bersolat di belakang imam?”
Kata Abu Hurairah r.a : “Bacalah untuk diri mu kerana sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam bersabda” : “Allah Ta’ala berfirman : Aku membahagikan solat itu antara-Ku dengan hamba-Ku kepada dua bahagian dan untuk hamba-Ku apa yang dipintanya (permintaannya dikabulkan).
Apabila si hamba membaca : Segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam, Allah Ta’ala berfirman : Hamba-Ku memuji-Ku.
Apabila si hamba membaca : Yang Maha Pemurah dan Pengasih, Allah Ta’ala berfirman : Hamba-Ku memuja-Ku. Apabila si hamba membaca : Penguasa hari pembalasan, Allah berfirman : Hamba-Ku mengagungkan Daku, hamba-Ku menyerahkan (urusannya kepada-Ku).
Apabila si hamba membaca : Kepada-Mu kami menyembah dan kepada-Mu kami memohon pertolongan, Allah Ta’ala berfirman : Ini adalah antara-Ku dan hamba-Ku dan untuk hamba-Ku apa yang dipintanya.
Apabila si hamba membaca : Tunjukilah kami ke jalan yang lurus, jalan orang-orang yang telah Engkau kurniakan nikmat dan bukannya jalan orang-orang yang Engkau murkai dan orang-orang yang sesat, Allah berfirman : Ini adalah untuk hamba-Ku dan untuk hamba-Ku apa yang dipintanya.” [074] (Sahih. Dikeluarkan oleh Muslim, Imam Ahmad, At-Tirmidzi, Ibnu Majah, Al-Baihaqi dll)
Penjelasan dan Pengajaran :
[a]. Penipuan dalam solat adalah orang yang tidak tidak mengerjakan solat dengan sempurna (tidak sempurna rukunnya). Puncanya kerana membiarkan diri dalam keadaan jahil dan tidak ambil peduli untuk mempelajari cara bersolat.
[b]. Membahagikan solat itu kepada dua bahagian bermaksud, solat tidak sah tanpa membaca surah Al-Fatihah ini (catatan tepi Sahih Muslim).
Membelanjakan Harta di Jalan Allah
~ Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam bersabda, “Allah Azza wa Jalla berfirman : Belanjalah wahai anak Adam, Aku akan berbelanja atasmu.” [079] (Sahih. Riwayat Bukhari, Imam Ahmad dan Ibnu Majah)
Penjelasan dan Pengajaran : Membelanjakan harta di jalan Allah bermaksud : Belanja yang membawa erti menafkahkan harta kepada ibu bapa yang miskin, isteri, anak-anak dalam tanggungan dan tiada sumber pendapatan, kaum kerabat terdekat yang miskin, kaum fakir miskin, orang-orang yang dalam kesusahan dan segala kebaikan yang lainnya kerana Allah Ta’ala.
Mengutamakan yang Lebih Utama
~ Dari Abu Umamah r.a : Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam bersabda, “(Allah Azza wa Jalla berfirman) : Wahai anak Adam, sekiranya engkau membelanjakan kelebihan yang ada pada kamu maka itu adalah baik untuk kamu dan jika kamu menahannya maka ia adalah buruk bagi mu. Dan kamu tidak akan ditempelak (dicela atau dicerca) di atas kadar keperluan yang ada pada kamu. Dan mulakannya (pemberian) itu dengan orang yang bergantung pada mu. Dan tangan di atas adalah lebih baik dari tangan yang di bawah.” [082] (Sahih. Riwayat Muslim, Imam Ahmad, At-Tirmidzi dan Al-Baihaqi)
Penjelasan dan Pengajaran :
[a]. Pengorbanan dan sedekah harta yang lebih dari keperluan sendiri dan orang-orang dalam tanggungannya dikira sebagai kebaikan. Keengganan bersedekah kerana kebakhilan hanya membawa keburukan pada diri sendiri.
[b]. ‘Dan kamu tidak akan ditempelak (dicela atau dicerca) di atas kadar keperluan yang ada pada kamu’ bermaksud : tidak dikira berdosa berbelanja pada diri sendiri dan tanggungan seperti membeli rumah yang besar, kereta dan sebagainya.
[c]. Mengutamakan pemberian kepada orang yang menjadi tanggungan.
[d]. Islam menyuruh kepada membantu sesama Islam bukan mencaci, menghina dan kemungkaran lainnya seperti yang terjadi waktu ini.
[e]. Menggalakkan berusaha kepada peningkatan taraf hidup dan bukan hanya berpeluk tubuh mengharap bulan jatuh ke riba.
~ Dari Abu Waaqid Al-Laithi r.a, katanya : Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam bersabda, “Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla berfirman : Sesungguhnya Kami telah menurunkan (mengurniakan) harta bagi mendirikan solat dan mengeluarkan zakat.
Jika seorang anak Adam itu mempunyai satu wadi (satu lembah harta) maka sudah pasti ia suka andainya beliau mempunyai wadi kedua; dan sekiranya beliau mempunyai dua wadi sudah pasti beliau suka untuk mempunyai wadi yang ketiga.
Tidaklah yang memenuhi perut anak Adam melainkan tanah (sikap cinta kepada harta dunia itu akan berakhir bila mati). Kemudian Allah menerima taubat siapa yang bertaubat kepada-Nya.” [086] Sahih. Riwayat Ahmad
Penjelasan dan Pengajaran: Hadis ini menjelaskan peranan harta di muka bumi ini iaitu, ia digunakan untuk membuat amal kebajikan dan beribadah kepada Allah Subhana wa Ta’ala. Di dalam firman-Nya;
Surah Al-Qasos [28] : 77 Terjemahan : 77. Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan.
Perkataan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi bukanlah bermaksud mencari dunia separuh dan akhirat separuh (dunia 50% - akhirat 50%) ataupun keseimbangan dalam mencari harta di dunia dan akhirat.
Tetapi apa yang dimaksudkan menerusi ayat itu dalam tafsir Ibnu Katsir adalah, segala harta yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala kepada kita adalah untuk tujuan berbuat kebajikan dan ibadah kepada Allah Ta’ala. Tidak salah jika kita berusaha mencari berbillion harta di muka bumi ini, tetapi ia bukan untuk tujuan berbangga diri, berbuat maksiat atau kemungkaran lainnya. Ia digunakan untuk kebaikan manusia, Islam khususnya seperti membayar zakat, membina masjid, berjihad atau apa sahaja kebajikan dan ibadah kepada Allah Ta’ala semata-mata.
Selain itu hadis ini juga menerangkan kepada kita bahawa sifat manusia begitu mudah ditewaskan dengan sifat tamak dan digunakan harta itu untuk memuaskan hawa nafsunya dan seringkali tidak merasa cukup pada apa yang ada pada dirinya atau kurang bersyukur.
Pemusnah bagi sifat tamak yang bermaharajalela ini adalah mengingat pemutus kenikmatan, iaitu mati. Apabila mati, tiada harta, makanan atau minuman yang memenuhi perut kita kecuali tanah.
Kelebihan Berpuasa
~ Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam bersabda, (Allah Subhana wa Ta’ala berfirman), “Setiap amalan anak Adam adalah untuknya melainkan puasa, maka ia adalah untuk-Ku dan Aku yang mengganjarinya.
Dan demi Dia (Allah) yang memegang jiwaku (Nabi Muhammad Sallalahu Alaihi Wasallam) di dalam Tangan-Nya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu adalah lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi. Dan puasa itu adalah perisai (yang melindungi dari api neraka).
Bagi orang yang berpuasa itu ada dua kegembiraan, kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu Rabb Azza wa Jalla di mana dia bergembira dengan puasanya.” [104] Sahih. Riwayat Imam Ahmad dan Ibnu Khuzaimah
Penjelasan dan Pengajaran :
-
Berkata Imam Ibnu Hajar, maksud ganjaran puasa dari Allah adalah ganjaran pahala yang tidak terkira banyaknya. Amalan lain dikira; satu kebaikan digandakan dengan sepuluh hingga tujuh ratus kali ganda, tetapi puasa hanya Allah yang memberi ganjarannya dan ganjarannya adalah besar.
-
Maksud ‘tangan’ di sini seperti umum yang kita ketahui iaitu, tanpa; (a). Tahrif (tidak mengubah lafaz atau mengubah maknanya), (b). Ta’til (tidak menafikan atau menolaknya), (c). Takyif (tidak bertanya bagaimana) dan (d). Tamsil (tidak menyerupai Allah dalam zat mahupun perbuatan seperti menyamakan dengan makhluk, sifat makhluk dan menyerupakan sesuatu yang tidak ada, tidak sempurna dan lain-lain). Semua makna hakiki mengenai sifat-sifat Allah di dalam Al-Quran mahupun hadis, hanya Allah yang Maha Mengetahui.
-
‘Puasa itu adalah perisai’. Tambahan oleh ‘Koleksi Hadis (penulis blog)’ pada perkataan selepas itu ‘yang melindungi dari api neraka’ berdasarkan sebuah hadis Hasan dari Imam Ahmad dalam kitab sama, hadis bernombor 105.
Allah Tertawa Kepada Dua Orang
~ Dari Ibnu Mas’ud r.a, katanya : (Bersabda Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam), “Dua orang lelaki yang mana Allah tertawa (dalam riwayat Abu Darda’ r.a dengan darjat Hasan juga dari Thabrani, ditulis ‘ketawa dan bergembira’) melihat kedua-dua mereka;
(a). Seorang lelaki yang berada di atas kudanya yang menyerupai kuda-kuda para sahabatnya. Musuhpun berhadapan dengan mereka lalu tumpas. Manakala lelaki itu tetap teguh atas kudanya (berjihad). Sekiranya beliau terbunuh, maka beliau telahpun menemui kesyahidan. Maka itulah lelaki yang mana Allah tertawa melihatnya.
(b). Dan seorang lelaki yang bangun pada waktu malam, tidak ada seorang pun mengetahuinya lalu beliau menyempurnakan wudhuk dan berselawat ke atas Muhammad solallahu ‘alaihi wasallam dan memuji Allah serta memulakan bacaan Al-Quran (dalam riwayat lain status Sahih dari Imam Ahmad dan Ibnu Hibban ditulis ‘bersolat’).
Maka Allah tertawa melihatnya dan berfirman kepada malaikat-Nya; “Lihatlah kepada hamba-Ku. Tidaklah seorang pun melihatnya kecuali Aku.” [142] Hasan Li Ghoyrihi. Riwayat Thabrani dalam Al-Mu’jam Al-Kabir
Penjelasan dan Pengajaran :
-
Maksud ‘ketawa’ di sini seperti umum yang kita ketahui iaitu, tanpa; (a). Tahrif (tidak mengubah lafaz atau mengubah maknanya), (b). Ta’til (tidak menafikan atau menolaknya), (c). Takyif (tidak bertanya bagaimana) dan (d). Tamsil (tidak menyerupai Allah dalam zat mahupun perbuatan seperti menyamakan dengan makhluk, sifat makhluk dan menyerupakan sesuatu yang tidak ada, tidak sempurna dan lain-lain).
-
Antara jalan menuju kepada mecintai Allah Subhana wa Ta’ala adalah dengan berjihad dan beramal soleh.
-
Manusia dimuliakan di hadapan malaikat kerana amalannya yang ikhlas semata-mata kerana Allah Ta’ala.
-
Besarnya pahala mengikuti sunnah Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam (bangun beribadah pada waktu malam ketika orang lain sedang lena) hingga Allah gembira melihatnya dan memujinya di hadapan malaikat.
Let me know what you think of this article on twitter @tehnoblequran or leave a comment below!