Peristiwa Akhir Zaman 8

by on under Hadis
1 minute read

Dari Ali bin Abi Thalib r.a: Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus’ab bin Umair r.a dan tiada di atas badannya kecuali hanya sehelai selendang yang bertampung dengan kulit.

Tatkala Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam melihat kepadanya, Baginda Sallalahu Alaihi Wasallam menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus’ab ketika berada di Mekah dahulu; dan kerana memandang nasib Mus’ab sekarang (dalam kemiskinan sebagai seorang Muhajirin dan meninggalkan segala kemewahan).

Kemudian Nabi Sallalahu Alaihi Wasallam bersabda, “Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian dan pergi di waktu petang dengan pakaian yang lain pula (dalam sehari bertukar-tukar pakaian).

Dan bila diangkatkan satu hidangan, diletakkan pula satu hidangan yang lain (mewah dengan makanan). Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu seperti mana kamu memasang kelambu Ka’bah?”

Maka jawab sahabat, ‘Wahai Rasulullah, tentunya di waktu itu kami lebih baik dari hari ini. Kami akan memberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah (perlu) mencari rezeki.’ Lalu Nabi Sallalahu Alaihi Wasallam bersabda, “Tidak! Keadaan kamu di hari ini adalah lebih daripada keadaan kamu di hari itu.” (Riwayat Tirmidzi)

Penjelasan dan Pengajaran:

  1. Kemewahan hidup membuatkan kita terleka untuk beribadat kepada Allah SWT. Maksud kemewahan adalah, melebihi apa yang diperlukan.

  2. Perbezaan besar antara sahabat Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam dengan umat Islam sekarang. Para sahabat sentiasa berfikir bagaimana hendak menambahkan ibadat, sebaliknya umat Islam sekarang sibuk berfikir bagaimana hendak menambah harta. Para sahabat sanggup meninggalkan kemewahan demi agama, umat Islam sekarang sanggup meninggalkan agama demi kemewahan. Maha Benar Allah dan Rasul-Nya.

  3. Sepatutnya umat Islam kini perlu lebih beribadat kerana segala kemudahan berada di depan mata. Sumber air, elektrik, masjid, jalan, kenderaan dan pelbagai lagi kemudahan sudah tersedia, tetapi sayangnya umat Islam sekarang telah kufur pada nikmat Allah yang Maha Agung.

comments powered by Disqus