Peristiwa Akhir Zaman 15, 16 & 17

by on under Hadis
2 minute read

Dari Anas r.a: Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam bersabda, “Akan datang kepada umat ku suatu zaman di mana orang yang berpegang pada agamanya laksana menggenggam bara api.” (Riwayat Tirmidzi)

Penjelasan dan Pengajaran:

  1. Orang yang berpegang pada ajaran Islam (mengikuti Al-Quran dan As-Sunnah) akan dipandang hina, jumud dan lain-lain.

  2. Mereka tersepit dan cuba dipengaruhi oleh keadaan sekeliling agar meninggalkan Al-Quran dan As-Sunnah, baik dari orang kafir dan lebih teruk lagi dari orang yang mengaku Islam.

  3. Akhir zaman juga orang Islam akan menghadapi tentangan yang hebat, sekiranya leka maka terlepaslah Islam dari tangan mereka.

Golongan Ruwaibidhoh Dari Abu Hurairah r.a: Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam bersabda, “Lagi akan datang kepada manusia tahun-tahun yang tandus.

  • Dan pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta.

  • Orang khianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat.

  • Dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan ‘Ruwaibidhoh’.” Sahabat bertanya, ‘Apakah Ruwaibidhoh itu hai Rasulullah?’ Nabi Sallalahu Alaihi Wasallam menjawab, “Orang yang kerdil dan sebenarnya hina dan tidak mengerti urusan orang ramai.” (Riwayat Ibnu Majah)

Penjelasan dan Pengajaran: Zaman yang tandus tersebut bermaksud zaman orang-orang yang ketandusan ilmu dan pemikiran. Orang yang benar akan diketepikan dan orang yang khianat serta fasiq akan disanjung dan dijadikan idola. Orang yang berilmu dan berada pada kebenaran tidak dibenarkan bercakap dan dituduh pula dengan berbagai-bagai tohmahan. Orang yang dibenarkan bercakap pula adalah orang-orang yang hina dan tidak tahu bagaimana hendak menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat dan mengelirukan. Maha Benar Allah. Melalui hadis ini juga kita lihat zaman ini berapa ramai ahli ilmu yang dibiarkan sepi tanpa mengambil peduli pada apa yang disampaikan oleh mereka. Malah mereka dituduh pula sebagai pengkhianat agama.

Peperangan Demi Peperangan

Dari Abu Hurairah r.a: Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam bersabda, “Hari kiamat tidak akan terjadi sehingga melimpah ruah harta benda dan timbul fitnah (ujian kepada keimanan) dan banyak berlaku ‘al-Harj’.” Sahabat bertanya, ‘Apakah al-Harj itu hai Rasulullah?’ Nabi Sallalahu Alaihi Wasallam menjawab, “Peperangan demi peperangan demi peperangan.” (Riwayat Ibnu Majah)

Penjelasan dan Pengajaran:

  1. Harta benda melimpah ruah - Kita boleh melihat pada hari ini betapa banyaknya dan mudahnya kita mendapatkan harta. Termasuk harta benda ini adalah dari segi kediaman, pengangkutan, perhiasan dan segala macam bentuk kemudahan serta kekayaan lagi.
  2. Timbul fitnah - Tidak perlu diperjelaskan lagi, kerana zaman kita ini fitnah terlampau banyak dan berleluasa. Fitnah ini begitu luas maknanya, tetapi secara umum ia adalah sebagai satu ujian kepada keimanan atau satu bencana besar kepada umat Islam.
  3. Peperangan demi peperangan - Pembunuhan dan peperangan seolah-olah telah lali dengan telinga dan mata kita hari ini.
comments powered by Disqus