Kisah Dajjal
Hadis yang dipaparkan adalah pengumpulan hadis-hadis mengenai perihal Dajjal. Pentingnya perkara Dajjal ini adalah kerana berdasarkan sebuah hadis:
Dari Ibnu ‘Umar berkata: “Kemudian Nabi Sallalahu Alaihi Wasallam berdiri di hadapan manusia, lalu memuji Allah yang Dia satu-satunya yang paling berhak dipuji kemudian Beliau menyebutkan masalah ad-Dajjal dan bersabda: “Sungguh aku mengingatkan kalian tentangnya dan tidak ada seorang Nabi pun kecuali telah mengingatkan kaumnya tentang Dajjal itu. Sungguh Nabi Nuh ‘Alaihissalam telah mengingatkan kaumnya. Akan tetapi aku katakan kepada kalian tentangnya yang para Nabi (sebelumku) belum pernah mengatakannya, iaitu bahawa ad-Dajjal itu a’war (buta sebelah matanya) dan sesungguhnya Allah tidaklah buta sebelah”. [2829] Sahih Bukhari
Perkataan ‘tidak ada seorang Nabi pun kecuali telah mengingatkan kaumnya tentang Dajjal’ bermakna perkara mengenai Dajjal ini sangat-sangat penting. Maka dengan itulah kami cuba mengumpulkan seberapa yang ada mengenai hadis-hadis perihal Dajjal (tidak semua). Hadis mengenai kedatangan Dajjal ini adalah mutawatir, mengingkarinya boleh menyebabkan kekufuran.
Perlu diingat, bahawa Dajjal itu bukanlah hawa nafsu atau bentuk-bentuk yang pelik sebagaimana terdapat beberapa kisah mengenainya, tetapi Dajjal itu seperti susuk tubuh manusia biasa dan buta sebelah matanya serta dikurniakan perkara-perkara ajaib oleh Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana sebagai ujian terbesar kepada umat manusia.
Terdapat beberapa ratus hadis mengenainya termasuk yang berulang dan daif. Kami hanya memilih dari riwayat yang terkuat dan hadis-hadis yang berulang tidak dimasukkan kecuali sebab-sebab tertentu, seperti menguatkan hadis yang lain atau penambahan dari perawi yang kuat hafalannya. Perlu diingatkan sekali lagi, kami tidak meletakkan seluruh hadis mengenai Dajjal di sini. Wallahu’alam.
Let me know what you think of this article on twitter @tehnoblequran or leave a comment below!