Kitab Kebenaran Hakiki | Muqaddimah

by on under Kitab Kebenaran Hakiki
6 minute read

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda Sallalahu Alaihi Wasallam.

Segala puja dan puji sekaliannya hanya untuk Allah s.w.t, Tuhan Yang Maha Agung, Maha Tinggi, Maha Besar, Maha Perkasa, Maha Mulia dan Maha Sempurna. Kami panjatkan syukur atas segala rahmat, nikmat, taufik, hidayat dan segala kurniaan-Mu yang tidak pernah putus sejak zaman azali hinggalah kepada zaman abadi. Walau bagaimanapun suci puji-pujian kami terhadap diri-Mu namun, Engkau meninggi dan melampaui apa yang kami ucapkan, rasakan dan apa yang terlintas dalam fikiran dan penghayatan kami. Sesungguhnya Engkau adalah Allah, Tuhan Yang Maha Esa, Maha Berdiri Dengan Sendiri, Pencipta sekalian makhluk. Walau bagaimana luas sekalipun kesyukuran kami namun, ia hanyalah sezarah di dalam ruang kurniaan-Mu. Kami sandarkan puji dan puja kami terhadap-Mu kepada puji dan puja-Mu terhadap diri-Mu sendiri agar apabila Engkau Memuji diri-Mu Engkau mengingati pujian kami terhadap diri-Mu. Kami sandarkan kesyukuran kami kepada rahmaniat-Mu agar apabila Engkau meratai segala kurniaan-Mu dengan rahmaniat-Mu, Engkau mengingati kami yang bersyukur terhadap segala kurniaan-Mu. Sebesar-besar kurniaan-Mu kepada kami adalah Engkau utuskan kepada kami kekasih-Mu, Nabi Muhammad Sallalahu Alaihi Wasallam. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda Sallalahu Alaihi Wasallam yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya.

Wahai Tuhan kami! Dengan taufik dan hidayat-Mu yang maha luas, dapatlah kami menyudahkan penulisan kitab “Kebenaran Hakiki” ini selepas lebih daripada tujuh tahun memulakannya. Tempuh tujuh tahun lebih itu kami rasakan seperti baharu kelmarin kerana setiap saat yang kami gunakan dalam urusan-Mu Engkau payungi kami dengan rahmat-Mu. Tidak ada pekerjaan yang sukar dan berat apabila ia dilakukan demi mematuhi perintah dan kehendak-Mu.

Ya Tuhan! Kami sujud ke Hadrat-Mu dan kami mengaku bahawa sesungguhnya Engkau adalah Tuhan dan kami adalah hamba-Mu. Apa juga yang kami perolehi daripada nikmat ilmu, nikmat zahiriah dan nikmat batiniah semuanya adalah kurniaan-Mu. Segala kebaikan yang Engkau kurniakan kepada kami, kami kembalikan kepada-Mu. Segala keburukan dan kecacatan yang keluar daripada kami adalah kerana kegelapan hati kami. Kami memohon keampunan dan kemaafan-Mu. Ampunkanlah juga dosa ibu-bapa kami dan kasihanilah mereka sebagaimana mereka menjaga kami dengan penuh kasih sayang, wahai Tuhan Yang Ghafur.

Kami memulakan perjalanan kami sebagai orang yang tidak mengetahui apa-apa tentang tarekat, hakikat, makrifat, Sir dan lain-lain yang biasa diperkatakan oleh orang-orang tasauf. Penggerak kami adalah pembukaan daripada Allah s.w.t Yang Maha Mengasihani. Ketika kami sedang hanyut di dalam kelalaian arus angan-angan, Dia dengan Kasihan Belas-Nya membawa kami menghadap kepada-Nya. Apa yang telah dibukakan kepada kami walaupun dalam tempoh yang singkat tetapi memerlukan masa lebih daripada tujuh tahun untuk memahami dan menghuraikannya.

Dalam proses tersebut kami banyak bertanya dan membaca buku-buku tasauf. Dalam perjalanan kami, kami telah bertemu dengan orang-orang yang membuang kehambaan dan berpegang kepada fahaman penyatuan dengan Tuhan. Kami temui kitab-kitab tulisan tangan yang kononnya ilmu para wali. Apabila mengambil perkataan orang yang demikian dan kitab yang demikian, kami menjadi lebih keliru. Dalam satu segi, diperkatakan tentang perjalanan nafsu dan latihan kerohanian yang sama dengan apa yang dikatakan oleh ulama tasauf yang muktabar. Mereka menggunakan ayat-ayat al-Quran dan kesah-kesah Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam juga, tetapi di sana sini terdapat pemahaman tersendiri mengenai maksud ayat-ayat al-Quran dan ada pula cerita-cerita tentang Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam yang tidak boleh ditemui dalam kitab-kitab sejarah. Perkara yang paling mengelirukan adalah yang mengenai akidah. Berpegang kepada orang-orang yang demikian dan kitab-kitab yang demikian membuat seseorang tidak tahu di mana mahu diletakkan al-Quran dan al-Hadis.

Kitab-kitab tasauf yang boleh didapati di kedai-kedai buku, sebahagian daripadanya memperbesarkan jazbah, zauk, fana, bersatu dengan Tuhan dan baqa dengan Tuhan. Pada satu peringkat kami menyangkakan bersatu dengan Tuhan itulah tahap paling tinggi boleh dicapai oleh manusia. Orang yang bersatu dengan Tuhan itulah orang yang sudah benar-benar ‘sampai’. Walaupun anggapan yang demikian muncul di dalam hati tetapi di satu bahagian hati yang tersembunyi menolak anggapan tersebut.

Kami bersyukur kepada Allah s.w.t yang telah mempertemukan kami dengan kitab-kitab karangan Imam Ibnu Athaillah, Syeikh Muhammad Abdul Haq Ansari mengenai sufisma yang dibawa oleh Syeikh Ahmad Sirhindi, Syeikh Abdul Qadir Jilani, Imam an-Nafari dan lain-lain yang telah membuka pandangan kami, dengan izin Allah s.w.t. Semoga Allah s.w.t mengurniakan rahmat yang berlimpah ruah kepada arwah mereka sekalian. Kitab al-Hikam karangan Imam Ibnu Athaillah telah memainkan peranan yang penting kepada kami dalam perjalanan mencari jawapan. Apa yang kami temui melalui kata-kata hikmah Imam Ibnu Athaillah itu telah kami susunkan dalam bentuk buku yang kami beri judull “Syarah al-Hikam”.

Pandangan kami menjadi lebih jelas lagi setelah membaca keterangan yang diberikan oleh Syeikh Ahmad Sirhindi dalam kitab yang disusun oleh Syeikh Muhammad Abdul Haq Ansari. Di atas tapak yang dibina oleh Syeikh Ahmad Sirhindi itu kami mempelajari sejarah kehidupan Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam dan para sahabat baginda Sallalahu Alaihi Wasallam. Ia telah memberi pemahaman yang tetap kepada kami. Baharulah kami dengan yakin menolak kitab-kitab yang diedarkan secara bersembunyi yang kononnya atas alasan ilmu para wali tidak boleh diberikan kepada orang ramai.

Apa yang kami temui dan kami fahamkan itu kami tuliskan sebagai kitab “Kebenaran Hakiki” ini. Semoga keterangan di dalamnya boleh membantu saudara-saudara kami yang masih mencari-cari.

Dengan segala kerendahan hati kami nyatakan bahawa kami bukanlah dari golongan ulama tasauf. Apa yang kami tuliskan adalah berdasarkan pengalaman dan kajian kami. Adalah lebih baik jika saudara-saudara yang membaca kitab ini merujuk semula kepada orang yang alim dalam bidang ini.

Kami serahkan pekerjaan kami kepada Allah s.w.t. Segala kebaikan yang ada pada kitab ini adalah hak Allah s.w.t. Kekurangan dan kecacatannya adalah kerana kejahilan kami. Segala puji dan puja hanya untuk-Nya.

Sesungguhnya Engkau yang memberi petunjuk kepada hamba-hamba-Mu. Terimalah dan berkatilah pekerjaan kami. Amin!

Penghargaan yang tidak terkira kami tujukan kepada sahabat kami, Dol @ Zulkifli bin Abdullah, yang telah banyak membantu kami dengan menyediakan keperluan-keperluan kami bagi memudahkan pekerjaan kami menyiapkan kitab ini. Penghargaan kami juga kepada sahabat-sahabat yang lain yang telah memberi teguran dan pandangan yang baik berhubung penulisan kitab ini. Semoga Allah s.w.t memberkati mereka sekalian.

Kami teramat berhutang budi kepada Ybg. Dato’ Haji Tuan Ibrahim bin Tuan Man, yang di dalam kesibukan beliau masih juga memberi ruang untuk meneliti kitab “Kebenaran Hakiki” ini serta memberi pandangan dan teguran yang membina. Sentuhan ikhlas beliau telah menambahkan semangat serta keyakinan kami di dalam pekerjaan kami. Semoga Allah s.w.t sentiasa memelihara dan memberkati beliau.

Kami sangat bersyukur kepada Allah s.w.t yang telah meneguhkan kesabaran ahli-ahli kami yang terpaksa menanggung berbagai-bagai kesulitan selama kami berada dalam pekerjaan ini.

Semoga Allah s.w.t mengurniakan ganjaran yang melimpah ruah kepada mereka semua. Ameenn!

comments powered by Disqus