Jalan Kenabian | Kebenaran Hakiki

by on under Kitab Kebenaran Hakiki
18 minute read

oo6. Jalan kenabian

Para sahabat Rasulullah shalallahu alaihi wasallam adalah kumpulan kaum Muslimin yang paling bertuah kerana Rasulullah shalallahu alaihi wasallam berada di tengah-tengah mereka. Mereka menerima pengajaran wahyu secara langsung daripada baginda shalallahu alaihi wasallam. Mereka adalah puak yang paling diberkati Allah s.w.t kerana Dia kurniakan kepada mereka cahaya (Nur) Nabi Muhammad shalallahu alaihi wasallam secara terus, tanpa dihijab oleh ruang, zaman atau masa. Apa yang mereka perolehi daripada Nur Nabi Muhammad shalallahu alaihi wasallam adalah yang paling benar dan asli pada tahap maksimum. Jika Nabi Muhammad shalallahu alaihi wasallam diibaratkan sebagai matahari, maka para sahabat menerima pancaran matahari ketika ia berdiri tegak tanpa segumpal awan pun melindunginya. Umat yang di belakang pula adalah umpama orang yang menerima pancaran cahaya matahari ketika ia telah condong ke barat dan ketika awan mendung sudah berarak dipermukaan langit.

Kaum Muslimin yang menerima tarekat secara langsung daripada Rasulullah shalallahu alaihi wasallam menetap di atas jalan kehambaan dan kesedaran. Wahyu yang disampaikan oleh Rasulullah shalallahu alaihi wasallam secara langsung membakar sifat-sifat keji para sahabat tanpa membakar identiti mereka. Mereka mengikuti tingkah-laku Rasulullah shalallahu alaihi wasallam dengan bersungguh-sungguh untuk memakai sifat-sifat benar, amanah, menyampaikan dan bijaksana. Mereka berusaha menyesuaikan diri dengan Rasulullah shalallahu alaihi wasallam kerana baginda shalallahu alaihi wasallam adalah model yang Allah s.w.t hantarkan untuk diteladani. Apabila jalan yang demikian diikuti maka para sahabat menjadi duta-duta kepada Rasulullah shalallahu alaihi wasallam, cermin yang membalikkan cahaya Nabi Muhammad shalallahu alaihi wasallam dan penyambung lidah Nabi Muhammad shalallahu alaihi wasallam. Cara yang demikian meneguhkan iman di atas landasan kehambaan. Tidak ada percubaan untuk membuang kehambaan dan menjadi Tuhan. Tidak ada pengalaman kerohanian yang memabukkan. Banyak daripada pengalaman yang ganjil-ganjil yang dialami oleh para sufi yang datang kemudian, tidak dialami oleh para sahabat Rasulullah shalallahu alaihi wasallam. Golongan yang menjalani tarekat yang diterima secara langsung daripada Rasulullah shalallahu alaihi wasallam tidak mengalami atau jarang terjadi pengalaman dan penyaksian terhadap tajalli-tajalli, warna dan cahaya. Pengalaman yang demikian tidak terjadi di peringkat awal sahabat menerima Islam dan tidak juga di peringkat akhir. Pengalaman yang demikian tidak berlaku kerana ‘matahari’ kenabian tidak ditutup oleh awan mendung keraguan dan syak wasangka yang biasa dikeluarkan oleh akal fikiran. Pengembara pada jalan kenabian iaitu tarekat para sahabat tidak terpukau dengan tajalli dan tidak tertarik dengan bayangan. Tajalli dan bayangan adalah fenomena yang timbul selama awan mendung menutupi cahaya matahari yang asli. Setelah awan mendung berlalu muncullah cahaya yang terang benderang, tanpa rupa, tanpa warna dan bayangan juga hilang.

Para sahabat yang mengikuti jalan kenabian sangat menyintai akhirat. Keluarga Yasir yang sedang hebat menderita diseksa oleh orang Banu Makhzum, menjadi tenang apabila menerima jaminan syurga daripada Rasulullah shalallahu alaihi wasallam. Syurga yang dijanjikan itu memberi semangat dan kekuatan kepada keluarga Yasir. Kecintaan mereka kepada akhirat lahir daripada kecintaan mereka kepada Allah s.w.t yang berjanji untuk memperlihatkan Diri-Nya di akhirat kelak. Mereka tidak meninggalkan akhirat atau pun dunia lantaran kecintaan mereka kepada Allah s.w.t. Kecintaan kepada Allah s.w.t yang disertai oleh kecintaan kepada akhirat dan dunia tidak menggoncangkan iman dan pegangan tauhid mereka.

Apa yang dilakukan oleh kaum musyrikin bukanlah memaksa kaum Muslimin menafikan ketuhanan Allah s.w.t, tetapi mereka mahu diadakan sekutu bagi Allah s.w.t. Kaum Muslimin yang hati mereka sudah dipenuhi oleh kecintaan kepada Allah s.w.t tidak mahu mempersekutukan Allah s.w.t dengan sesuatu. Inilah prinsip menyintai Allah s.w.t yang berdasarkan iman, yang dibentuk melalui jalan kenabian. Cinta yang demikian diperkuatkan dengan kecintaan kepada akhirat dan syurga. Syurga diingini kerana syurga adalah tempat pertemuan sebenar hamba dengan Tuhan. Allah s.w.t menggalakkan hamba-Nya menyintai akhirat dan syurga di samping benar dalam menyintai-Nya dan Rasul-Nya. Cinta yang berdasarkan kepada iman itu juga tidak memisahkan seseorang daripada dunia.

Tujuan manusia diciptakan adalah supaya mereka mengabdikan diri kepada Tuhan dengan cara menjadi khalifah di bumi, di dalam dunia. Manusia sebagai khalifah atau wakil Tuhan berkewajipan memakmurkan kehidupan di dalam dunia ini, melaksanakan peraturan dan kehendak Allah s.w.t. Dunia adalah daerah kekhalifahan manusia. Dunia adalah kebun buat manusia bercucuk tanam. Dunia adalah tempat buat manusia bekerja sebagai hamba Tuhan. Dunia adalah amanah yang Tuhan pertanggungjawabkan kepada makhluk berbangsa manusia. Cinta kepada Allah s.w.t yang berdasarkan iman mendorong seseorang manusia menyempurnakan tugas dan kewajipannya di dalam dunia. Tugas yang sangat penting di dalam dunia adalah menyuruh yang makruf dan mencegah yang munkar dan semuanya itu hendaklah dibuat berlandaskan kepada tauhid.

Pada jalan kenabian yang diikuti oleh para sahabat, kesungguhan digembelingkan ke arah mematuhi peraturan syariat. Mereka meyakini syariat dengan sepenuh jiwa raga dan bersedia untuk mempertahankan syariat dengan segala kemampuan yang mereka ada. Rasulullah shalallahu alaihi wasallam menolak permintaan puak Taqif yang datang dari Taif, agar berhala mereka tidak dirobohkan dalam tempuh satu tahun dari masa mereka mula menerima Islam dan mereka juga meminta dikecualikan daripada melakukan sembahyang lima waktu. Agama Tauhid tidak boleh bertolak-ansur dengan berhala. Mengenai sembahyang pula baginda shalallahu alaihi wasallam bersabda yang maksudnya: “Tidak ada Islam tanpa sembahyang.” Tentera Islam meredah padang pasir, memikul senjata, berperang, membunuh dan dibunuh, semuanya dilakukan dengan membawa peraturan syariat, termasuklah sembahyang lima waktu. Selepas kewafatan Rasulullah shalallahu alaihi wasallam, Khalifah Abu Bakar as-Siddik memerangi puak Islam yang enggan mengeluarkan zakat. Syariat dipegang sewaktu Rasulullah shalallahu alaihi wasallam masih hidup dan juga selepas kewafatan baginda shalallahu alaihi wasallam. Kaum Muslimin berkewajipan menanggung syariat sehingga ke akhir hayat mereka. Tidak ada had atau makam di mana seseorang bebas daripada tuntutan syariat. Rasulullah shalallahu alaihi wasallam sendiri pun terikat dengan tuntutan syariat, malah kesungguhan baginda shalallahu alaihi wasallam bersyariat melebihi orang lain.

Orang yang memasuki jalan kenabian adalah hamba yang Allah s.w.t pimpin kepada-Nya. Jalan tersebut sudah dilalui oleh para anbia, siddiqin dan salihin. Pada jalan tersebut sesuatu adalah terang dan jelas, tiada kesamaran. Tuntutan pada jalan ini adalah syariat, tidak perlu melakukan latihan yang berat, merbahaya dan samar-samar. Pada jalan kenabian latihan bersuluk dan berkhalwat tidaklah sepenting menjaga tuntutan fardu di samping melaksanakan tanggungjawab dalam kehidupan harian. Amalan pada jalan kenabian tidak mengganggu pekerjaan harian, tidak perlu mengasingkan diri ke tempat yang tidak ada orang. Cara yang diajarkan oleh Sunah Rasulullah shalallahu alaihi wasallam boleh mengelakkan seseorang terbawa-bawa ke dalam zauk, berkelakuan ganjil, meratap dan menangis atau mengeluarkan perkataan yang menyalahi syariat. Orang yang berjalan pada jalan kenabian tidak mengambil tahu tentang tajalli Tuhan, Rahsia Tuhan, fana dalam Tuhan, baqa dengan Tuhan atau yang seumpamanya. Kasyaf, zauk, jazbah dan keramat jarang sekali ditemui pada orang yang melalui jalan kenabian. Jika ada pun perkara yang demikian berlaku, ia berlaku bukan disengajakan, tidak dibuat amalan khusus untuk memperolehi yang demikian. Mereka yang beramal menurut Sunah Rasulullah shalallahu alaihi wasallam mendapat kelazatan di dalam sembahyang dan membaca al-Quran bukan di dalam zauk. Mereka bertindak menguruskan kehidupan harian secara manusia biasa tanpa perlu bersandar kepada kekeramatan. Mereka menetap di dalam kesedaran, tidak dibawa ke alam fana. Mereka terus berada di atas landasan kehambaan, tidak memasuki suasana bersatu dengan Tuhan atau baqa dengan-Nya. Mereka menghabiskan masa dengan melakukan tuntutan syariat, bukan berbahas tentang af’al, asma’, sifat dan zat Tuhan. Mereka berpegang kuat kepada wahyu dan perkataan Rasulullah shalallahu alaihi wasallam, tidak mencari-cari apa yang dipanggil ilmu rahsia, ilmu isi atau yang seumpamanya.

Orang yang berjalan pada jalan kenabian tidak digesa berperang dengan jasad dengan melakukan latihan yang menyakitkan jasad. Pada jalan kenabian penekanan diberikan kepada soal kesederhanaan dan menjaga agar tidak melampaui batas. Dibenarkan mengadakan pembalasan tetapi sekadar kejahatan yang dilakukan orang, jangan melampau dalam pembalasan dan jika sanggup memaafkan adalah lebih baik. Dibenarkan tidur tetapi jika bangun bersembahyang tahajjud adalah lebih baik. Dibenarkan makan dan minum tetapi jika berpuasa adalah lebih baik. Cara yang demikian lebih memudahkan orang ramai mengikutinya. Orang khusus juga boleh mencapai matlamat melalui jalan ini.

Pengembara pada jalan kenabian membina kecintaan kepada Allah s.w.t berdasarkan bimbingan syariat. Cinta yang lahir melalui cara yang demikian berada di dalam batasan rasional, tidak terjadi kecintaan yang asyik mahsyuk sehingga lupa diri dan makhluk di sekeliling. Kasih yang rasional melahirkan rasa syukur tatkala menerima nikmat dari Allah s.w.t dan sabar di dalam menerima ujian. Cara yang demikian membuat kehambaan sentiasa menemani pengembara pada jalan kenabian. Rasa bergantung, berhajat dan berharap kepada Allah s.w.t tidak pernah lepas dari hati hamba itu. Kasih yang berdasar kepada iman menjadi lebih kuat dengan cara mendukung syariat, mematuhi Sunah Rasulullah shalallahu alaihi wasallam, dengan tulus ikhlas beramal sesuai dengan perintah al-Quran dan Sunah Rasulullah shalallahu alaihi wasallam dalam perkara zahir dan batin, juga tidak melakukan perkara yang munkar. Jika yang demikian dilakukan seseorang itu selamat daripada kekufuran dan seterusnya seseorang itu dibawa kepada suasana berserah diri kepada Allah s.w.t. Cara yang demikian menundukkan keinginan diri sendiri kepada ketentuan dan kehendak Allah s.w.t. Tunduk kepada ketentuan dan kehendak Allah s.w.t menambahkan kecintaan kepada-Nya yang didasarkan kepada iman. Kasih yang demikian menjadi lebih kuat apabila dilakukan kebaktian kepada agama-Nya, peraturan-Nya, Sunah Rasul-Nya, menolong makhluk-Nya, menghapuskan kezaliman dan kemunkaran serta menegakkan keadilan di atas muka bumi. Kasih kepada Allah s.w.t secara demikian melahirkan juga kasihkan makhluk Allah s.w.t dan orang yang berkenaan bekerja untuk membasmikan perkara-perkara yang tidak baik dari umat manusia seperti kemiskinan, penyakit, kesusahan dan lain-lain. Pada jalan kenabian kecintaan kepada Allah s.w.t berkait rapat dengan kecintaan kepada peraturan Allah s.w.t dan makhluk-Nya. Matlamatnya adalah melaksanakan kehendak Allah s.w.t sebaik mungkin.

Orang yang berjalan pada jalan kenabian tidak mengalami suasana fana, bersatu dengan Tuhan, baqa, tajalli atau menyaksikan satu wujud (wahdatul wujud) yang biasa ditemui oleh pengembara pada jalan kesufian. Pada jalan kenabian Allah s.w.t kurniakan yang lebih baik dan lebih benar daripada semua itu. Dikurniakan kepada pengembara pada jalan kenabian makna agama yang sebenarnya yang tidak bercampur dengan kesamaran dan kekeliruan. Allah s.w.t jadikan mereka saksi bagi agama-Nya, menjadi puak yang menyatakan kebenaran agama-Nya dan kebenaran Rasul-Nya menyampaikan perintah-Nya. Allah s.w.t kurniakan kepada mereka makam yang mulia iaitu menjadi penyebar agama-Nya secara benar dan bersih daripada bidaah dan kesesatan. Orang yang berjalan pada jalan kenabian dikurniakan rasa ghirah (kecemburuan) beragama. Perasaan yang demikian membuat mereka bersedia berjuang melindungi agama dan mempertahankannya daripada gangguan musuh-musuh agama. Merekalah yang sebenar-benar dipilih dan dilantik sebagai khalifah Allah s.w.t pada bumi dan diberikan izin menggunakan cop mohor-Nya di dalam melaksanakan tugas kekhalifahan itu. Allah s.w.t akan membantu, menolong dan membela mereka menjalankan tugas mereka menyebarkan syariat, memakmurkan bumi, mengalahkan musuh-musuh Islam dan menyelamatkan umat Islam daripada penindasan bangsa-bangsa lain.

Pada jalan kenabian tidak ada fana dalam perbuatan Allah s.w.t, fana dalam nama Allah s.w.t, fana dalam sifat Allah s.w.t dan fana dalam zat Allah s.w.t. Bila tidak ada fana tidak ada juga baqa. Bila yang demikian tidak ada maka tidak ada pula mabuk. Kecintaan kepada Allah s.w.t berjalan di dalam kesedaran. Tidak terjadi keasyikan yang melahirkan ucapan yang pelik-pelik. Tidak ada tangisan dan rayuan untuk bersatu dengan Tuhan atau dukacita lantaran berpisah dengan Tuhan. Para sahabat yang diasuh sendiri oleh Rasulullah shalallahu alaihi wasallam sentiasa berada di dalam kesedaran sepenuhnya, bukan kefanaan. Mereka mengejar kecintaan kepada Allah s.w.t dan kehampiran dengan-Nya dengan cara mentaati Rasulullah shalallahu alaihi wasallam di dalam mentaati Allah s.w.t. Mereka bekerja memahami wahyu Tuhan dan mengamalkannya dalam kehidupan harian. Mereka tidak memasuki jalan suluk secara khusus kerana bagi mereka kehidupan inilah tempat bersuluk. Suluk mereka adalah takwa, iaitu berjalan di celah-celah duri kejahilan, kemusyrikan, kemunafikan, kemunkaran dan kefasikan. Mereka bersuluk secara menjaga diri agar tidak melakukan dosa dan maksiat terutamanya syirik kepada Allah s.w.t, Tuhan Yang Maha Esa.

Rasulullah shalallahu alaihi wasallam diutuskan ketika umat manusia mengalami kegelapan akidah dan keruntuhan akhlak. Baginda shalallahu alaihi wasallam berkewajipan menyelamatkan umat manusia. Baginda shalallahu alaihi wasallam bekerja keras bagi mengubati penyakit-penyakit yang dihidapi oleh bangsa manusia dalam segala segi termasuklah akidah, akhlak, sistem perekonomian, sistem pentadbiran masyarakat dan lain-lain. Agama yang dibawa oleh Rasulullah shalallahu alaihi wasallam mencakupi segala aspek kehidupan umat manusia, bersesuaian dengan akal budi manusia, mengimbangi soal lahiriah dengan soal batiniah. Agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad shalallahu alaihi wasallam memperbetulkan aspek lahiriah yang telah diputar-belitkan oleh kaum Yahudi dan aspek batiniah yang telah dikelirukan oleh kaum Nasrani. Tugas suci yang ditanggung oleh Rasulullah shalallahu alaihi wasallam itu ditanggung juga oleh kaum Muslimin yang menjadi pengikut baginda shalallahu alaihi wasallam. Tugas yang sama dipikul oleh kaum Muslimin yang datang kemudian dengan mendukung jalan kenabian.

Jalan yang dibentuk oleh Rasulullah shalallahu alaihi wasallam dan diikuti oleh para sahabat adalah jalan singkat dalam mencapai matlamat iaitu keredaan Allah s.w.t. Jalan yang ada suluk adalah jalan jauh yang perlu dilalui oleh orang-orang tertentu kerana sesuatu sebab yang perlu, terutamanya pada zaman yang telah jauh daripada zaman Nabi Muhammad shalallahu alaihi wasallam. Ketika baginda shalallahu alaihi wasallam masih hidup bimbingan wahyu dan pengajaran secara langsung daripada baginda shalallahu alaihi wasallam lebih kuat dan lebih berkesan daripada cara berkhalwat sendirian jauh daripada Rasulullah shalallahu alaihi wasallam. Beriman dan beramal salih lebih dituntut daripada mengasingkan diri. Berjuang menyelamatkan manusia daripada neraka adalah juga termasuk dalam perkara amal salih. Di dalam melaksanakan tugas suci itu Rasulullah shalallahu alaihi wasallam dan kaum Muslimin perlu berperang menghapuskan faktor-faktor yang membentengi umat manusia daripada sampai kepada kebenaran. Banyak puak yang pada mulanya enggan menerima atau mendengar ajaran Islam, telah dengan rela memeluk Islam setelah mereka dikalahkan. Muslim zaman Rasulullah shalallahu alaihi wasallam sanggup mati demi menyelamatkan umat manusia daripada api neraka.

Nabi Muhammad shalallahu alaihi wasallam sebagai juru pandu yang mahir telah mengemudikan perjalanan kaum Muslimin di celah-celah kehidupan jahiliah. Kehidupan jahiliah dipenuhi oleh duri-duri keruntuhan akidah dan akhlak. Orang jahiliah menyembah berhala, mendewa-dewakan sesama manusia, meminum arak, berjudi, berzina, membunuh anak-anak perempuan, menyelesaikan permasalahan dengan cara berlaku kejam dan membunuh, menjadikan wanita sebagai alat memuaskan nafsu dan bermacam-macam perlakuan yang menyalahi moral dan etika kemanusiaan. Di dalam menangani masalah jahiliah itu Rasulullah shalallahu alaihi wasallam menekankan dua perkara pokok iaitu mengembalikan akidah manusia kepada tauhid dan mengembalikan akhlak manusia kepada nilai-nilai murni kemanusiaan (fitrah). Selama baginda shalallahu alaihi wasallam berdakwah di Makkah tumpuan baginda shalallahu alaihi wasallam adalah akidah dan akhlak. Penekanan kepada aspek akhlak semata-mata, iaitu nilai murni kemanusiaan semata-mata, tanpa tauhid, tidak akan memberi kesan yang mendalam kepada pembentukan keperibadian manusia. Revolusi akhlak semata-mata tanpa revolusi akidah mungkin mampu mengwujudkan manusia yang baik tetapi manusia yang demikian hanya bergerak pada soal-soal kebendaan dan keduniaan sahaja. Kejayaan dan kecemerlangan diukur melalui pencapaian pada perkara kehidupan keduniaan dan kebendaan semata-mata. Tanpa akidah manusia akan mengalami kekosongan jiwa dan kekosongan tersebut akan diisi oleh sesuatu seperti ketaasuban kepada keluarga, keturunan, kaum dan bangsa. Pengisian dengan anasir keduniaan itu akan menarik manusia kembali kepada kerosakan akhlak. Ramai manusia yang memulakan perjalanan mereka dengan baik sehingga memperolehi akhlak yang mulia. Setelah mencapai kejayaan dan kecemerlangan di dalam kehidupan lahiriah jiwanya yang kosong diresapi oleh berbagai-bagai anasir keduniaan dan kebendaan. Kesudahannya mereka jatuh ke dalam perlakuan yang mencemarkan nilai murni kemanusiaan. Ramai pemimpin yang telah berjuang dengan ikhlas bagi membebaskan negara mereka daripada penjajah. Setelah mencapai kemerdekaan dan menjadi pemimpin, mereka yang tiada pengisian akidah itu bertukar menjadi tamak kuasa dan menindas rakyat. Ramai juga golongan peniaga yang memulakan perniagaan mereka secara jujur sehingga orang ramai memberi sokongan padu kepada mereka. Saham mereka melambung naik. Setelah mencapai kejayaan dan kekayaan, jiwa mereka yang kosong diisikan dengan harta benda. Akibatnya lahirlah sifat menambun harta tanpa batasan sehingga harta orang ramai yang diamanahkan kepada mereka juga diselewengkan. Ramai manusia yang memulakan sesuatu kerjaya dengan menghormati nilai-nilai murni kemanusiaan, tetapi setelah kejayaan dicapai, nilai murni tersebut dibuang begitu sahaja. Orang yang seperti inilah yang selalu mendatangkan kesusahan kepada mana-mana badan atau persatuan yang mereka anggotai. Revolusi akhlak akan hancur jika ia tidak mengiringi revolusi akidah. Rasulullah shalallahu alaihi wasallam telah membina jalan yang menyelaraskan akidah dengan akhlak. Semakin kuat dan benar akidah kaum Muslimin semakin murni akhlak mereka. Kemurnian akhlak kaum Muslimin menjadi daya penarik kepada kaum lain. Orang yang belum Islam lebih mempelajari tentang Islam melalui akhlak kaum Muslimin. Pembentukan akhlak kaum Muslimin merupakan dakwah secara tidak langsung kepada kaum lain. Pada jalan kenabian kaum Muslimin berkecimpung di dalam masyarakat dan mereka melakukan dakwah sepanjang masa dengan mempraktikkan nilai-nilai murni kemanusiaan.

Orang yang meminati bidang kerohanian, tasauf dan tarekat biasanya tertarik kepada soal kewalian. Kewalian biasanya dihubungkan dengan jalan kesufian. Apabila memperkatakan tentang wali-wali Allah maka nama-nama mereka yang memasuki jalan kesufian sering ditonjolkan. Orang-orang seperti Syeikh Abdul Qadir Jilani, Ibrahim bin Adham, Hasan Basri, Junaid, Rabiatul Adawiah dan lain-lain orang sufi biasanya disenaraikan sebagai wali-wali Allah. Mengaitkan kewalian secara khusus dengan kesufian semata-mata telah menimbulkan banyak kekeliruan dan merugikan umat Islam sendiri. Apabila nama-nama sufi sering ditonjolkan sebagai wali Allah, timbullah anggapan bahawa hanya dengan memasuki jalan kesufian seseorang itu boleh mencapai makam kewalian. Kewalian pada jalan kenabian tidak ditonjolkan. Kefahaman tentang kewalian haruslah diperbetulkan. Haruslah diketahui bahawa orang yang menerima Islam secara langsung daripada Rasulullah shalallahu alaihi wasallam adalah wali Allah. Wali-wali Allah yang sezaman dengan Rasulullah shalallahu alaihi wasallam, mendengar pengajaran daripada baginda shalallahu alaihi wasallam sendiri, melihat wajah baginda shalallahu alaihi wasallam, mendengar tutur-kata baginda shalallahu alaihi wasallam, makan bersama-sama baginda shalallahu alaihi wasallam, berperang di samping baginda shalallahu alaihi wasallam, adalah wali-wali Allah peringkat paling tinggi. Tidak ada kewalian yang lebih tinggi daripada kewalian para sahabat Rasulullah shalallahu alaihi wasallam. Kewalian yang muncul selepas sahabat, termasuklah kewalian para sufi tidak melebihi kewalian para sahabat. Di dalam senarai nama-nama wali Allah peringkat tertinggi yang sezaman dengan Rasulullah shalallahu alaihi wasallam, mendahuluinya adalah orang-orang seperti Abu Bakar as-Siddik, Umar al-Khatab, Usman bin Affan, Ali bin Abu Talib, Zahid bin Harisah, Zubair bin Awam, Abdul Rahman bin Auf, Saad bin Abu Waqqas, Talhah bin Ubaidillah, Al-Arqam bin Arqam, Yasir dan anak-anaknya Amar dan Abdullah, Samyah isteri Yasir, Bilal bin Rabah, Jaafar bin Abu Talib, Muaz bin Jabar, Abdullah bin Rawahah, Said bin Muaz, Dihyah bin Khalifah al-Kalbi yang Jibrail a.s pernah muncul dalam rupanya, Saad bin Ubada dan ramai lagi yang tergolong di dalam senarai wali-wali Allah peringkat tertinggi yang tidak ada wali pada zaman kemudian mengatasi kedudukan mereka. Setelah selesai senarai nama para sahabat itu baharulah datang nama-nama wali-wali yang datang kemudian seperti Abdul Qadir Jilani dan lain-lain.

Memasukkan nama para sufi sahaja di dalam senarai wali-wali yang datang kemudian merupakan kekeliruan yang nyata dan ia adalah sikap yang tidak adil kepada kewalian itu sendiri. Orang ramai jangan lupa untuk melihat kewalian orang-orang yang menetap pada jalan kenabian seperti Imam Syafi’e, Imam Malik, Imam Hanafi, Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Nawawi, Imam Ghazali dan lain-lain. Harus juga diperhatikan ahli-ahli ilmu yang telah banyak menyumbang kepada umat manusia dalam bidang perubatan, kimia, falsafah, astronomi dan lain-lain. Apakah tidak layak orang yang seperti Ibnu Rusyd dan Jamaluddin al-Afghani dipanggil wali Allah?

Wali-wali di peringkat paling atas adalah sahabat-sahabat Rasulullah shalallahu alaihi wasallam, termasuklah syuhada di Badar. Mereka telah mendapat pengiktirafan dan sanjungan daripada al-Quran dan disokong oleh Rasulullah shalallahu alaihi wasallam sendiri. Perkataan al-Quran dan Rasulullah shalallahu alaihi wasallam adalah muktamad. Wali-wali yang datang kemudian kedudukan mereka diperbesarkan oleh manusia sendiri, bukan perakuan secara langsung oleh Rasulullah shalallahu alaihi wasallam. Para sahabat adalah wali-wali yang lebih utama daripada wali yang datang kemudian sama ada dari jalan kesufian atau pun dari jalan kenabian. Kenyataan ini mesti dihunjam ke dalam fikiran umat Islam yang keliru dengan kedudukan kewalian. Ramai kaum Muslimin meninggalkan perkataan wali-wali peringkat tertinggi dan berpegang kepada perkataan wali yang lebih rendah atau orang yang tidak sahih kewaliannya.

Walaupun istilah wali tidak popular digunakan pada zaman Rasulullah shalallahu alaihi wasallam tetapi kewalian para sahabat tidak boleh dinafikan. Sebahagian daripada mereka telah disebut nama mereka dengan sahih oleh Rasulullah shalallahu alaihi wasallam sebagai ahli syurga. Baginda shalallahu alaihi wasallam juga memberi jaminan bahawa sesiapa yang mengikuti mana-mana sahabat baginda shalallahu alaihi wasallam sesungguhnya orang itu telah mengikuti yang benar. Wali-wali seperti Imam Syafi’e dan Imam Malik merupakan yang paling hampir jalan mereka dengan jalan para sahabat Rasulullah shalallahu alaihi wasallam. Oleh itu perkataan mereka lebih kuat dan lebih kukuh daripada perkataan wali-wali yang bukan berada pada jalan kenabian. Sangat tidak wajar kaum Muslimin membuang perkataan Imam Syafi’e kerana terpengaruh dengan perkataan zauk Abu Mansur al-Hallaj. Jalan yang ditempuh oleh Abu Mansur yang ada zauk, fana dan jazbah itu dinamakan jalan kesufian.

comments powered by Disqus