Syariat menyelamatkan manusia | Kebenaran Hakiki

by on under Kitab Kebenaran Hakiki
22 minute read
  1. Syariat menyelamatkan manusia

Sesudah itu Adam terima beberapa kalimat dari Tuhannya, lalu Dia ampunkannya kerana sesungguhnya Allah itu Pengampun dan Penyayang. Kami berkata: “Pergilah kamu sekalian dari (syurga) itu, kemudian jika datang petunjuk (agama) daripada-Ku dan sesiapa yang ikut petunjuk itu tidaklah ada ketakutan atas mereka dan tidaklah mereka berdukacita”. ( Ayat 37 & 38 : Surah al-Baqarah )

Hai Bani Adam! Sesungguhnya Kami telah turunkan atas kamu pakaian untuk menutup kemaluan kamu dan pakaian perhiasan dan juga pakaian takwa, ini lebih baik. Yang demikian itu adalah tanda-tanda (kurnia) Allah supaya kamu ingat. ( Ayat 26 : Surah al-A’raaf )

Nabi Adam a.s hanya dipakaikan dengan syariat apabila beliau a.s masuk ke dalam dunia. Beliau a.s tidak dibebankan dengan syariat sewaktu beliau a.s berada di dalam syurga. Syariat menjadi pakaian kebal yang dengannya keturunan Adam a.s boleh selamat daripada fitnah dan tipu daya dunia. Dunia adalah umpama racun dan syariat adalah penawarnya. Sesiapa yang masuk ke dalam dunia tanpa memakai syariat akan ditelan oleh dunia dan diheret kepada alam syaitan.

Syariat adalah peraturan atau sistem yang digubal oleh Allah s.w.t untuk dipatuhi oleh manusia dalam mengadakan perhubungan dengan Tuhan, dengan sesama manusia dan dengan makhluk lain dalam alam maya ini. Syariat sampai kepada umat manusia melalui manusia pilihan Tuhan yang berkedudukan sebagai nabi-nabi. Nabi-nabi bertanggungjawab menerima, memahami, mengamalkan dan menyebarkan syariat yang diturunkan oleh Allah s.w.t. Dasar syariat adalah taat kepada Allah s.w.t dengan mematuhi perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Peraturan yang terdapat dalam syariat yang dibawa oleh seorang Nabi harus ada perbezaan dengan peraturan yang terdapat dalam syariat yang dibawa oleh Nabi yang lain. Walaupun ada perubahan pada peraturan syariat tetapi tuntutan mentaati syariat tidak berubah.

Syariat Nabi Daud a.s mengizinkan lelaki berkahwin seberapa ramai yang mereka mampu tetapi syariat Nabi Muhammad shalallahu alaihi wasallam menghadkan setakat 4 orang isteri sahaja dalam satu masa. Haram bagi umat Nabi Muhammad shalallahu alaihi wasallam berkahwin lebih daripada empat orang dalam satu masa, walaupun umat Nabi Daud a.s boleh berbuat demikian. Umat Nabi Muhammad shalallahu alaihi wasallam tidak boleh bersandar kepada syariat Nabi Daud a.s bagi berkahwin lebih daripada empat orang.

Jika diperhatikan kepada tuntutan mentaati syariat yang dibawa oleh Nabi bagi satu-satu umat, dapatlah difahamkan bahawa dosa dan pahala yang dikatakan oleh syariat bukanlah kerana tidak melakukan atau melakukan peraturan semata-mata. Hukum dosa dan pahala bergantung kepada tidak mentaati atau mentaati Allah s.w.t berhubung dengan peraturan yang Dia tetapkan. Orang munafik boleh melakukan perbuatan sembahyang dengan sempurna, tetapi ia tidak disertakan dengan ketaatan kepada Allah s.w.t, maka perbuatannya itu tidak mendatangkan pahala. Darjah pahala bergantung kepada kekuatan taat dan dalam melakukan peraturan syariat itu dituntut supaya melakukannya dengan cara yang betul, tidak boleh membuat cara sendiri yang menyalahi peraturan syariat.

Bagi setiap umat telah Kami tetapkan upacara ibadat (syariat) yang mereka akan lalui. Maka janganlah sekali-kali mereka membantah engkau dalam perkara ini; dan serulah kepada Tuhan engkau. Sesungguhnya engkau adalah di atas petunjuk yang lurus. ( Ayat 67 : Surah al-Hajj )

Umat satu nabi wajib berpegang kepada syariat yang dibawa oleh nabi tersebut, tidak boleh lari kepada syariat nabi yang lain, melainkan telah datang nabi lain yang membawa syariat yang lebih lengkap dan sempurna. Apabila datang Nabi Muhammad shalallahu alaihi wasallam sekalian umat manusia wajib berpegang kepada syariat yang dibawa oleh baginda shalallahu alaihi wasallam. Umat Nabi Muhammad tidak boleh meninggalkan syariat baginda shalallahu alaihi wasallam kerana mahu mengikuti Nabi-nabi yang terdahulu. Umat Nabi Muhammad shalallahu alaihi wasallam wajib berpegang kepada firman Allah s.w.t:

Hari ini Aku sempurnakan agama kamu bagi kamu dan Aku cukupkan atas kamu nikmat-Ku. Dan Aku reda Islam menjadi agama (syariat) kamu. ( Ayat 3 : Surah al-Maa’idah )

Umat Nabi Muhammad shalallahu alaihi wasallam sangat bertuah kerana Allah s.w.t telah kurniakan kepada mereka nikmat yang lengkap iaitu agama Islam, sehingga mereka tidak perlu lagi merujuk kepada apa yang telah diturunkan terdahulu. Allah s.w.t menjamin bahawa Dia reda menerima Islam sebagai agama bagi umat Nabi Muhammad shalallahu alaihi wasallam. Jaminan Allah s.w.t itu sudah cukup bagi orang yang benar-benar mencari keredaan Allah s.w.t untuk tetap berjalan di atas landasan yang telah dibina oleh Islam. Islam adalah perlembagaan yang cukup lengkap, mencakupi perkara zahir dan juga perkara batin. Islam telah menjelaskan apa yang mesti dibuat dan apa yang mesti tidak dibuat dan bagaimana mahu bertindak menghadapi sesuatu perkara. Umat Islam tidak perlu bertengkar tentang penyelesaian sesuatu masalah. Segala penyelesaian sudah dibentangkan, hanya tegakkan iman dan rujukkan kepada Islam itu sendiri, nescaya segala kemusykilan akan terjawab.

Setiap umat Islam dituntut supaya beriman kepada peraturan yang Tuhan telah tetapkan, mempelajarinya, mengamalkannya dan menyebarkannya sekadar kemampuan masing-masing. Hubungan kaum Muslimin dengan syariat Islam adalah percaya, mempelajari dan melaksanakan. Oleh kerana darjat zahir dan rohani manusia tidak serupa maka terdapatlah perbezaan tahap kepercayaan, pengetahuan dan kekuatan melaksanakannya. Perbezaan tersebut menyebabkan umat Islam mudah bersepakat dalam perkara pokok, bertolak ansur pada perkara cabang dan tidak bersefahaman pada perkara ranting. Kegoncangan pada ranting tidak seharusnya menggoncangkan pokok perpaduan umat Islam. Perbezaan pada tumpuan pelaksanaan tidak seharusnya menyekat kerjasama sesama Muslim. Masalah khilafiah tidak seharusnya menjarakkan kumpulan yang berlainan mazhab.

Al-Quran yang sampai kepada kita sekarang ini mengandungi 6,666 ayat. Tidak mungkin ada orang Islam masa ini yang mampu menyesuaikan dirinya dengan 6,666 ayat tersebut sekaligus, dengan serta merta atau dalam jangka masa yang singkat. Rasulullah shalallahu alaihi wasallam membawa pengikut-pengikut baginda shalallahu alaihi wasallam ‘ke dalam’ al-Quran secara berperingkat-peringkat dan baginda shalallahu alaihi wasallam mengambil masa lebih daripada dua puluh tahun untuk membawa mereka ‘berjalan di dalam’ 6,666 ayat tersebut. Allah s.w.t dan Rasul-Nya sangat berhikmah di dalam mendidik umat manusia. Pada masa berlaku peperangan Badar arak masih belum diharamkan. Sebahagian daripada syuhada Badar terdiri daripada mereka yang kuat meminum arak tetapi Allah s.w.t, dengan kasihan belas dan rahmat-Nya, menerima sekalian ahli Badar sebagai ahli syurga.

Rasulullah shalallahu alaihi wasallam memberi tumpuan kepada akidah, diikuti oleh akhlak. Al-Quran mengajarkan beriman, kemudian beramal salih. Allah s.w.t memperingatkan bahawa Dia mengampunkan segala dosa, termasuk dosa zina, meminum arak dan sebagainya tetapi Dia tidak mengampunkan dosa syirik. Umat manusia harus diselamatkan daripada dosa yang tidak diampunkan Tuhan terlebih dahulu sebelum dosa yang Tuhan ampunkan. Golongan Muslim yang berilmu berkewajipan menyelamatkan golongan Muslim yang jahil daripada lembah syirik. Dalam berbuat demikian perbezaan fahaman tidak boleh dijadikan penghalang. Puak yang berkuasa dan puak yang berilmu sama-sama akan disoal oleh Tuhan nanti apakah yang mereka buat bagi membersihkan akidah umat manusia. Puak berilmu tidak boleh memberi alasan yang puak berkuasa tidak menerima nasihat. Tanggungjawab ahli ilmu tidak terlepas dengan alasan yang demikian. Dengan sedikit ‘suntikan’ daripada puak yang berilmu akan menjadikan puak yang berkuasa boleh melakukan berbagai-bagai perkara demi kebaikan syariat Tuhan. Dengan sedikit tolak-ansur daripada puak yang berkuasa akan membolehkan puak yang berilmu menyampaikan banyak perkara demi syariat Tuhan.

Muslim yang mempunyai kesedaran dan kemampuan haruslah mengkaji dengan mendalam apakah yang terlebih terdesak diperlukan oleh umat Islam masa kini. Setelah mengetahui penyakit semasa yang melanda umat Islam itu puak berilmu dan puak berkuasa sama-sama berkewajipan mencari penawar di antara 6,666 ayat al-Quran. Penawar yang diperlukan dengan segera itulah yang mesti dihulurkan kepada orang ramai terlebih dahulu. Mengubati penyakit secara bersistematik lebih berkesan daripada mengubati semua jenis penyakit sekaligus. Syariat telah menyediakan segala jenis ubat untuk semua jenis penyakit. Ahli ilmu dan pemerintah haruslah faham menyusun jadual pengubatan umat.

Kita perlu menjiwai Islam untuk merasai nikmat Islam yang Tuhan kurniakan. Orang Islam bukan sahaja mendukung Islam untuk dirinya sahaja malah dia juga mendukung Islam untuk ahlinya, saudara-saudara Muslim yang lain dan juga umat manusia seluruhnya. Kewajipan manusia adalah melakukan apa yang Tuhan aturkan dengan penuh ketaatan kepada-Nya, sementara hak mengatur diserahkan kepada Allah s.w.t. Sekiranya Allah s.w.t mengaturkan seseorang itu menjadi alim dan mendapat kuasa ketika masyarakat Islam sedang menghadapi ancaman perang, orang alim dan berkuasa itu berkewajipan membuka syariat bahagian jihad, keperluan memperkuatkan ketenteraan, strategi peperangan dan lain-lain yang bersangkutan dengan perang, terlebih dahulu daripada bahagian syariat yang lain. Mengajar cara pembahagian harta pusaka kepada orang yang sedang bersiap ke medan perang adalah kurang sesuai. Dalam tabligh (menyampaikan), bukan sahaja perlu ada siddik dan amanah, malah perlu juga ada fatanah (kebijaksanaan).

Rasulullah shalallahu alaihi wasallam bertabligh secara siddik, amanah dan fatanah. Setelah berjaya menawan Makkah baginda shalallahu alaihi wasallam memaafkan secara beramai-ramai orang Makkah yang pernah berperang menentang baginda shalallahu alaihi wasallam. Baginda shalallahu alaihi wasallam tidak ghairah melakukan hukum qisas. Beberapa orang yang baginda shalallahu alaihi wasallam telah umumkan untuk dibunuh pun kemudiannya baginda shalallahu alaihi wasallam maafkan. Kemaafan daripada baginda shalallahu alaihi wasallam telah menarik orang-orang yang bersalah itu kepada Islam. Sekiranya baginda shalallahu alaihi wasallam telah melakukan hukuman bunuh tentu ramai daripada orang Makkah yang mati sebagai orang kafir musyrik. Kebijaksanaan baginda shalallahu alaihi wasallam telah menyelamatkan ramai manusia daripada azab neraka.

Allah s.w.t menghargai orang alim yang menggunakan kebijaksanaan dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh umat Islam. Pelaksanaan peraturan Tuhan kepada umat manusia yang tidak mengerti haruslah dengan kasih sayang, belas kasihan dan simpati. Bukankah Rasulullah shalallahu alaihi wasallam telah mendoakan bagi penduduk Taif yang mengkasari baginda shalallahu alaihi wasallam dengan doa yang baik: “Wahai Tuhan. Maafkan mereka kerana mereka tidak mengerti”. Rasulullah shalallahu alaihi wasallam mengerti setakat mana pengikut baginda shalallahu alaihi wasallam mampu memikul beban. Baginda shalallahu alaihi wasallam tidak meletakkan beban melebihi keupayaan mereka. Sebab itulah dakwah baginda shalallahu alaihi wasallam berjaya. Baginda shalallahu alaihi wasallam telah memberi contoh, ketika berdakwah di Makkah, bilangan kaum Muslimin masih sangat sedikit. Baginda shalallahu alaihi wasallam tidak menggerakkan kaum Muslimin supaya berperang dengan kaum musyrikin. Jika baginda shalallahu alaihi wasallam berbuat demikian tentu sahaja kaum Muslimin akan terhapus sebelum agama Islam sempat berkembang di atas muka bumi. Umat Islam dituntut melaksanakan syariat Tuhan secara bijaksana. Serahkan urusan mentadbir kepada Tuhan. Kaum Muslimin perlu bertindak sesuai dengan pentadbiran Tuhan. Umat Islam yang tinggal di negeri yang sering dilanda banjir dituntut menyediakan kelengkapan banjir, tidak dituntut menyediakan kelengkapan gempa bumi. Dalam menguruskan hal-ehwal kaum Muslimin secara bijaksana, Muslim yang ditakdirkan berkuasa dengan Muslim yang ditakdirkan berilmu wajib bekerjasama demi mencari keredaan Allah s.w.t.

Syariat mengajarkan prinsip satu untuk ramai kerana Allah s.w.t. Lelaki bertanggungjawab menyelamatkan dirinya dan ahlinya daripada api neraka. Orang yang berharta berkewajipan mengeluarkan zakat bagi membantu orang miskin. Orang yang memiliki makanan yang cukup perlu mempastikan jirannya tidak tidur dalam kelaparan. Orang yang berilmu berkewajipan mengajar orang yang jahil. Orang yang berkuasa berkewajipan melindungi orang yang lemah. Setiap anggota masyarakat perlu menyumbangkan sesuatu untuk kesejahteraan masyarakatnya.

Syariat Islam mengajarkan supaya menyebarkan yang makruf dan mencegah yang munkar. Muslim diajar supaya mengasihani orang yang dizalimi dan juga orang yang berbuat kezaliman. Mengasihani orang yang dizalimi adalah dengan cara menyelamatkannya daripada kezaliman dan mengasihani orang yang berbuat zalim adalah dengan cara menyekatnya daripada berbuat kezaliman atau setidak-tidaknya menasihatinya. Dalam menyebarkan yang makruf dan mencegah yang munkar tidak ada istilah ‘menjaga tepi kain orang lain’. Satu perkara yang sangat diberati oleh syariat adalah perbuatan menzalimi diri sendiri. Tuhan memberi ancaman yang keras terhadap mereka yang melakukan kezaliman terhadap diri mereka. Syariat Islam melarang kaum Muslimin sengaja mencampakkan diri mereka kepada kebinasaan walaupun atas alasan berserah kepada takdir. Rasulullah shalallahu alaihi wasallam menyuruh kaum Muslimin mengikat unta mereka terlebih dahulu baharulah bertawakal. Umar al-Khattab melarang orang ramai memasuki kampung yang sedang dilanda wabak taun dan pergi ke kampung yang tidak ada taun. Lari daripada takdir yang memudaratkan dan pergi kepada takdir yang mensejahterakan masih lagi dalam medan takdir.

Maksud menzalimi diri sendiri sangat luas. Zalim adalah lawan kepada adil. Maksud adil adalah meletakkan sesuatu pada kedudukan yang benar dan layak baginya. Jika meletakkan sesuatu pada kedudukan yang tidak benar dan tidak layak, ia dinamakan zalim. Menggunakan pancaindera yang dikurniakan Tuhan untuk melakukan perbuatan yang dilarang oleh Tuhan adalah melakukan kezaliman kepada pancaindera atau diri sendiri.

Kezaliman yang paling besar dilakukan oleh hamba Tuhan adalah meletakkan Tuhan pada taraf yang tidak benar dan tidak layak bagi-Nya. Ketuhanan Allah s.w.t meliputi bidang penyembahan, pematuhan, pemujaan, penyayangan dan kebaktian. Ada batas yang mesti dipelihara agar tidak terjadi perbuatan yang menurunkan taraf ketuhanan Allah s.w.t daripada yang sepatutnya. Batas tersebut juga dipelihara agar apa sahaja yang selain Tuhan tidak sampai kepada taraf tersebut. Jangan sekali-kali terjadi penyembahan, perhambaan, ketaatan, pemujian dan penyayangan hak ketuhanan Allah s.w.t turun daripada taraf ketuhanan-Nya dan jangan pula yang selain Tuhan naik kepada taraf ketuhanan. Jika percerobohan dilakukan maka perbuatan yang demikian dikatakan menzalimi hak ketuhanan Allah s.w.t dan ia diistilahkan sebagai syirik. Syirik adalah menyengutukan hak ketuhanan Allah s.w.t dengan sesuatu yang lain. Meletakkan taraf Isa al-Masih sebagai anak Tuhan adalah syirik. Menganggap Uzair sebagai anak Tuhan adalah syirik. Mengiktikadkan Nur Muhammad sebagai penjelmaan Tuhan atau Tuhan sendiri adalah syirik. Nur Muhammad bukanlah Allah s.w.t sebagaimana Isa al-Masih (zahirnya atau rohaninya iaitu nurnya) bukan anak Allah s.w.t. Mematuhi guru dengan sepenuh jiwa raga sehingga perkara haram dihalalkan dan perkara halal diharamkan masih juga dipatuhi, pun termasuk di dalam perbuatan syirik. Mencari rezeki yang baik tetapi dengan meninggalkan hak ketuhanan Allah s.w.t yang wajib dilaksanakan juga berunsur syirik. Kasih sayang sesama makhluk yang menyebabkan tenggelam hukum dan peraturan Tuhan juga berunsur syirik. Besar atau kecilnya syirik itu bergantung kepada sejauh mana hak ketuhanan Allah s.w.t dicerobohi. Al-Quran menceritakan beberapa keadaan syirik.

Dan berkata orang-orang Yahudi: “Uzair anak Allah”. Dan berkata orang-orang Nasrani: “Al-Masih anak Allah”. Demikian itulah kata-kata mereka dengan mulut mereka; menyerupai perkataan orang-orang kafir yang dahulu. Diperangi Allah akan mereka. Bagaimana mereka dapat dipalingkan? Telah mereka ambil guru-guru mereka dan pendeta-pendeta mereka menjadi Tuhan selain Allah dan (juga) al-Masih anak Maryam; padahal tidaklah mereka diperintahkan melainkan supaya menyembah kepada Allah, Tuhan Yang Maha Esa, tidak ada Tuhan melainkan Dia. Maha Suci Dia dari apa yang mereka sekutukan. ( Ayat 30 & 31 : Surah at-Taubah )

Bahkan mereka mempertuhankan jin. ( Ayat 41 : Surah Saba’ )

Tidakkah engkau perhatikan mereka yang mempertuhankan nafsu mereka? Maka apakah engkau boleh jadi pemelihara atas mereka? ( Ayat 43 : Surah al-Furqaan )

Selain yang dinyatakan di atas al-Quran juga menceritakan beberapa perkara yang boleh menggelincirkan manusia kepada syirik.

Katakanlah: “Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, isteri-isteri kamu, kaum keluarga kamu, harta yang kamu dapati, perniagaan yang kamu takut akan mundur dan tempat kediaman yang kamu sukai, lebih tercinta kepada kamu daripada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad pada jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan ketentuan-Nya. Dan Allah itu tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang fasik”. ( Ayat 24 : Surah at-Taubah )

Syirik adalah kezaliman yang paling besar boleh dilakukan oleh seseorang kepada dirinya sendiri, bukan kepada Tuhan. Tuhan tidak cedera lantaran manusia berbuat syirik dan tidak beruntung Tuhan jika manusia berbakti kepada-Nya. Apa yang manusia lakukan memberi keuntungan atau kerugian kepada dirinya sendiri, bukan kepada Tuhan. Syirik adalah kerugian manusia yang paling besar kerana Allah s.w.t sangat tegas menghadapi orang yang berbuat syirik. Oleh itu tugas seseorang Muslim adalah menghapuskan syirik pada dirinya dan juga pada saudara-saudara Muslimnya yang lain. Tugas utama penguasa Muslim dan ulama Muslim juga demikian. Syirik adalah musuh utama umat manusia. Di dalam berjihad menentang kemusyrikan kaum Muslimin mestilah bersatu sekalipun mereka tidak boleh bersatu dalam bidang yang lain.

Selain syirik, syariat juga menekankan soal perbuatan munkar. Kerosakan akidah dinamakan syirik dan kerosakan akhlak dinamakan perbuatan munkar. Dalam soal kemunkaran, rujukannya secara umum adalah fitrah kemanusiaan, nilai-nilai murni kemanusiaan yang dipersetujui oleh syarak. Fitrah kemanusiaan yang sejati sangat hampir dengan fitrah Muslim, tetapi jarang yang sampai kepada tahap kesedaran fitrah yang sejati kerana bakat fitrah mereka dihijab oleh kemampuan berfikir yang terhad, pengaruh pendidikan, pengalaman dan sebagainya. Sekalipun manusia boleh sampai kepada tahap kesedaran fitrah yang sejati namun, ia belum boleh dikatakan fitrah Muslim kerana ia tidak berkeupayaan menyingkap tentang Tuhan. Ia mesti tunduk kepada perkhabaran yang datang daripada Tuhan baharulah fitrah kemanusiaan yang sejati itu beroleh kedudukan sebagai fitrah Muslim. Fitrah kemanusiaan yang sejati hanya memerlukan iman untuk menjadikannya fitrah Muslim.

Nilai-nilai murni kemanusiaan yang disertai iman menjadi rujukan dalam menentukan sesuatu perkara itu munkar atau tidak. Perbuatan munkar adalah perbuatan yang menyalahi akhlak Muslim. Perbuatan yang sesuai dengan akhlak Muslim dan dilakukan dengan disertai iman, dinamakan perbuatan makruf. Perbuatan makruf termasuk dalam kategori amal salih. Amal yang tidak salih itulah yang munkar.

Amal yang tidak salih secara automatiknya adalah amal yang munkar, tetapi amal yang pada zahirnya kelihatan salih belum tentu ianya salih. Ia hanya menjadi salih jika ia disertai oleh iman. Tidak ada amal salih tanpa iman. Sebab itulah sistem yang digubal oleh cerdik pandai bukan Islam, walaupun sesuai dengan nilai-nilai murni kemanusiaan, jika diambil bulat-bulat ia tidak mampu melahirkan amal salih kerana tidak ada dasar iman padanya. Itulah punca kegagalan badan dunia menyebarkan perkara makruf dan mencegah yang munkar. Umat Islam sendiri jika menggubal sistem yang tidak berlandaskan iman akan menemui kegagalan yang serupa. Kemunkaran hanya boleh dihancurkan oleh kekuatan iman.

Fitrah kemanusiaan yang tidak disertakan iman tidak dapat melihat rasional di sebalik kebanyakan peraturan syariat, terutamanya dalam bidang penghakiman dan penghukuman terhadap orang yang melakukan jenayah. Penghukuman menurut syarak biasanya dipandang sebagai keterlaluan, di luar peri kemanusiaan. Fitrah kemanusiaan hanya memandang kepada sekop kehidupan dunia sahaja, sedangkan syarak mengenakan hukuman yang berat di dalam dunia bagi menyelamatkan pesalah daripada hukuman berat di akhirat. Syarak melihat dunia sebagai kehidupan yang sangat singkat sementara akhirat adalah kehidupan yang abadi. Menderita dalam tempuh yang singkat lebih baik daripada menderita berkekalan. Tuhan tidak suka menghukum hamba-Nya dua kali. Hamba-Nya yang telah menjalani hukuman menurut syarak tidak perlu lagi dihukum di akhirat. Atas dasar inilah hukuman menurut syarak dipandang berat menurut nilai kemanusiaan sejagat.

Syariat memberi penumpuan kepada penyucian akidah dan akhlak. Akidah yang bersih daripada syirik menjadi dasar syariat. Akhlak yang mulia menjadi pengapit kepada akidah yang benar. Apabila dua perkara ini sudah teguh baharulah perkara-perkara lain boleh berdiri dengan tegap. Selama tiga belas tahun berdakwah di Makkah Nabi Muhammad shalallahu alaihi wasallam menumpukan soal akidah dan akhlak. Bidang syariat yang lain banyak dipraktikkan setelah baginda shalallahu alaihi wasallam berhijrah ke Madinah.

Bidang syariat yang paling penting adalah pengajaran tentang Tuhan dan pengabdian kepada-Nya. Syariat mengajarkan bahawa Allah s.w.t adalah Tuhan Yang Maha Esa. Dia adalah pergantungan sekalian makhluk, tidak ada makhluk yang merdeka daripada-Nya. Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan. Tidak ada sesiapa boleh mendakwakan bahawa dirinya adalah sebahagian daripada Tuhan. Dia tidak serupa dengan sesuatu dan Dia Mendengar serta Melihat. Dia menguasai seluruh alam maya. Syariat memperkenalkan Tuhan dalam dua aspek penting. Dalam aspek pertama syariat menceritakan bahawa Tuhan adalah Maha Kaya dari seluruh alam. Tuhan tidak memerlukan apa-apa daripada sesiapa pun. Tuhan tidak bergantung kepada sesuatu. Tuhan tidak ditanya tentang apa yang Dia lakukan tetapi makhluk ditanya tentang apa yang mereka perbuat. Syariat juga mengajarkan bahawa jika manusia bersyukur maka kebaikan syukur itu pergi kepadanya, bukan kepada Tuhan. Jika manusia kufur ia memudaratkan diri manusia sendiri, tidak menjejaskan ketuhanan Allah s.w.t. Dalam aspek kedua syariat memperkenalkan Tuhan sebagai pergantungan sekalian makhluk, Dia melakukan apa yang Dia kehendaki kepada makhluk-Nya. Dia meletakkan ketentuan kepada setiap yang Dia ciptakan. Semua makhluk tidak berupaya mengubah ketentuan yang telah Tuhan tetapkan pada azali. Semua makhluk tunduk patuh kepada ketentuan-Nya. Gabungan dua aspek tersebut menceritakan bahawa Allah s.w.t adalah Tuhan Yang Maha Kaya dari segala sesuatu, tidak berkehendakkan apa-apa pun daripada sesiapa pun, tetapi sekalian makhluk bergantung, berhajat dan berkehendak kepada-Nya. Begitulah dasar akidah seorang Muslim yang disimpulkan dengan kalimah:

Bagi menghuraikan dasar akidah tersebut diadakan pengajian sifat dua puluh. Sifat dua puluh dan apa jua sifat yang dinisbahkan kepada Allah s.w.t, termasuklah nama-nama-Nya, tertakluk kepada dasar:

Makrifat melalui syariat diperolehi dengan iman bukan dengan hujah dan dalil. Hujah dan dalil berguna bagi orang cenderung menggunakan akal fikiran. Akal fikiran mempunyai had kemampuannya. Apabila sampai kepada had kemampuannya akal terpaksa tunduk, menyerah sepenuhnya kepada perkhabaran yang dibawa oleh syariat. Baharulah akal itu menjadi Muslim. Makrifat secara syariat juga menjadi permulaan setelah berakhirnya makrifat secara kasyaf dan pengalaman kerohanian. Kasyaf membawa seseorang kepada suasana kehairanan menemui kenyataan bahawa Tuhan melampaui segala perkenalan. Ahli kasyaf pun tunduk, menyerah kepada perkhabaran yang terdapat dalam syariat. Baharulah hati yang mengalami kasyaf benar-benar menjadi Muslim.

Apa juga jalan yang diikuti, permulaan jalan adalah syariat dan penghujung jalan juga syariat, baharulah perjalanan itu menjadi bulatan yang lengkap. Syariat yang ditemui pada permulaan jalan adalah syariat secara umum, dipegang oleh orang awam. Syariat pada akhir perjalanan adalah syariat khusus dan lengkap, dipegang oleh orang arif. Apa juga tarekat yang dijalani sekiranya tidak ditemui syariat pada akhir perjalanannya, maka tarekat tersebut tidak mencapai Kebenaran Hakiki. Sekiranya sesuatu tarekat itu membawa seseorang kepada penafian terhadap syariat, sekiranya ahli tarekat itu mempunyai kesedaran, wajiblah dia berundur daripada jalan yang dilaluinya itu.

Selain menyampaikan pengetahuan tentang Tuhan, syariat juga mengajarkan cara-cara melakukan ibadat dan pengabdian kepada Tuhan. Hanya ibadat yang dilakukan menurut peraturan syariat sahaja diterima oleh Tuhan sebagai ibadat. Misalnya, syariat menentukan syarat dan rukun sembahyang. Tidak menepati syarat dan tidak menyempurnakan rukun tidak dinamakan sembahyang. Akal dan kasyaf tidak akan menemui cara yang betul bagi menyembah Tuhan. Hanya syariat, semata-mata syariat mengajarkan cara pengabdian yang sebenarnya terhadap Allah s.w.t.

Syariat juga menyampaikan perkhabaran tentang malaikat dan Nabi-nabi. Malaikat dikenali dengan mengetahui asal kejadiannya daripada nur yang murni yang berbeza daripada cahaya matahari atau sebarang cahaya yang diketahui oleh manusia. Perlu juga diketahui beberapa malaikat yang menjadi pemimpin kepada malaikat-malaikat sekaliannya. Mengenali Nabi pula adalah dengan mempelajari sejarah perjalanan mereka, tahu keturunan mereka dan tahu pula siapakah di antara mereka yang menerima kitab dan suhuf serta tahu kitab-kitab tersebut. Pengetahuan tentang perjalanan Nabi-nabi bagi meningkatkan kedudukan kerohanian dalam melaksanakan tuntutan syariat. Seterusnya syariat mengajarkan manusia tentang akhirat. Matlamat utama manusia adalah akhirat dan dunia menjadi jalan kepada akhirat. Di samping mencari kesejahteraan hidup di dunia manusia lebih dituntut mencari keselamatan di akhirat. Kehidupan dunia hanyalah sementara dan kehidupan akhirat berkekalan, tanpa kesudahan. syariat juga mengajar manusia supaya mengakui kelemahan mereka. Oleh yang demikian mereka dikehendaki beriman kepada Qadak dan Qadar. Keyakinan kepada akhirat menggerakkan manusia supaya rajin beramal. Keyakinan kepada Qadak dan Qadar memimpin manusia menjadi hamba yang tunduk kepada ketuhanan Allah s.w.t. Apa yang diajar oleh syariat membentuk sifat aslim iaitu berserah diri kepada Tuhan. Orang Islam yang bersifat aslim itulah yang benar-benar tunduk, patuh dan melaksanakan hukum Tuhan sebagaimana layaknya dibuat oleh seorang hamba yang merdeka.

Orang yang melalui jalan syariat akan berjaya apabila sampai kepada makam mukmin. Allah s.w.t berfirman:

Sesungguhnya Allah akan membeli orang-orang mukmin, dirinya dan hartanya dengan syurga, iaitu mereka yang berjihad pada jalan Allah, lalu mereka membunuh dan terbunuh, sebagai satu perjanjian yang benar di tentang itu (yang tersebut) dalam Taurat dan Injil dan Quran; kerana bukankah tidak ada yang sempurnakan janjinya lebih daripada Allah? Lantaran itu bergembiralah dengan perjanjian kamu yang kamu janjikan kepada-Nya, kerana yang demikian adalah kebahagiaan yang besar. ( Ayat 111 : Surah at-Taubah )

Orang yang mencapai darjat mukmin ada harga pada sisi Allah s.w.t hinggakan Dia sanggup membeli mereka dengan harga syurga, harta yang paling tinggi nilainya dalam seluruh alam makhluk. Tidak ada keraguan lagi kedudukan mereka sebagai ahli syurga. Makam yang di bawah daripada makam mukmin ada dua. Pertama adalah mereka yang dijamin sebagai ahli neraka. Kedua adalah mereka yang mungkin ke syurga atau mungkin ke neraka, hanya belas kasihan Tuhan yang boleh menyelamatkan mereka. Ketika hayat masih ada ujilah diri sendiri apakah sudah mencapai taraf mukmin atau belum. Alat pengujinya adalah firman Allah s.w.t:

Orang-orang mukmin apabila diperingatkan dengan Allah nescaya gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya menambahkan bagi mereka keimanan; dan kepada Tuhan mereka berserah diri. (Iaitu) orang yang mendirikan sembahyang dan membelanjakan sebahagian daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka. ( Ayat 2 & 3 : Surah al-Anfaal )

Jika tanda yang tersebut di atas tidak ada waspadalah! Mungkin neraka menunggu di akhir perjalanan hidup di dunia ini. Mulalah bekerja untuk menyelamatkan diri dengan berniaga dengan Allah s.w.t, menjualkan diri kepadanya dengan cara berjihad pada jalan-Nya. Mudah-mudahan Tuhan sudi membeli.

Kejayaan bagi mereka yang berjihad pada jalan Allah s.w.t adalah mereka dikurniakan petunjuk dengan nur tawajjuh yang berperanan memalingkan hati kepada Allah s.w.t dan membentenginya daripada apa yang cuba memesungkannya. Orang yang dikurniakan nur tawajjuh dinamakan orang salih yang berpegang teguh dengan syariat Allah s.w.t. nur tawajjuh membuat mereka berasa damai dan tenang serta bertambah kehampiran dengan Allah s.w.t. Mereka tidak berasa berat untuk melakukan ibadat walau berapa banyak sekalipun kerana semakin banyak mereka beribadat semakin mereka memperolehi taqarrub (mendekat dan menghadap Allah s.w.t) dan semakin mereka berasa lazat beribadat. Orang salih adalah ahli syariat yang memakai pakaian warak dan berjalan dengan nur tawajjuh.

comments powered by Disqus