Syawal Bukan Masa Bermegah
Syawal yang sudah seminggu diraikan pasti meninggalkan kenangan manis kepada semua. Selain meraikan kejayaan menunaikan ibadah puasa sebulan, hari raya memberi peluang mengeratkan ukhuwah serta silaturahim. Anak yang sudah lama tidak pulang ke kampung memanfaatkan cuti hari raya menziarahi ibu bapa dan sanak saudara yang jarang ditemui. Bagi sesetengah kita, beraya di kampung seakan menjadi kewajipan setiap tahun.
Allah SWT berfirman: “Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.” (Surah an-Nisa’, ayat 1)
Mungkin sebelum ini ada antara kita yang berkecil hati dengan orang tuanya mahupun sebaliknya. Justeru, ruang yang disediakan oleh Allah SWT melalui sambutan hari raya sebaiknya direbut untuk menjernihkan semula hubungan yang keruh. Meriahkan sambutan Aidilfitri dengan amalan bermaafan di samping menikmati juadah serta baju baharu dengan matlamat mencari keredaan Allah SWT. Selain memperkukuh ikatan dengan jiran tetangga, kemeriahan masih dirasai dengan jemputan rumah terbuka, meraikan tetamu yang berkunjung ke rumah.
Majlis boleh diadakan secara sederhana bukan untuk bermegah. Yang utama rendahkan hati untuk mengundang mereka beraya di rumah kita serta bertandang ke rumah mereka. Nabi Muhammad Sallalahu Alaihi Wasallam dalam menjaga hati jiran bersabda: “Barang siapa yang beriman kepada Allah SWT dan Hari Kiamat (akhirat) maka janganlah menyakiti jirannya.” (Riwayat Bukhari)
Masa jernih hubungan. Jika ada yang bertelagah dan bermusuh, hari raya adalah peluang terbaik menjernihkan kembali hubungan. Ini mengambil saranan daripada firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang Mukmin itu adalah bersaudara, maka perbaikilah (perhubungan) antara dua saudara kamu yang bertelagah dan bertakwalah kamu kepada Allah SWT moga kamu semua mendapat rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)
Ketika ziarah, pastikan adab dijaga antaranya memberi salam dan memastikan ada jawapan serta dijemput masuk, barulah ke muka pintu. Jangan terus meluru sebelum sempat tuan rumah memberi maklum balas. Pilih waktu sesuai yang tidak mengganggu tuan rumah seperti sebelum atau selepas Zuhur dan selepas Asar kerana ketika itu mereka sudah berehat dan tidak mengganggu waktu solat.
Disebabkan gembira bertemu keluarga dan saudara-mara membuatkan kita terlupa sebentar kepada golongan yang kurang bernasib baik. Andai ada di kampung halaman yang kita tahu kekurangan mereka, apa kata hantarkan barang keperluan supaya mereka juga dapat menikmati kemeriahan Aidilfitri.
Bagi yang tidak pernah menziarahi rumah orang tua atau anak yatim, Syawal kali ini boleh dijadikan titik permulaan untuk menjenguk mereka sebagai salah satu aktiviti keluarga. Kunjungan kita tentu akan mengurangkan kesedihan mereka. Walau apapun rencana kita bagi mengisi kalendar Aidilfitri ini, pastikan ruang yang Allah SWT hadiahkan benar-benar menjadi peluang yang sangat baik untuk memperkukuh hubungan sesama manusia.
Let me know what you think of this article on twitter @tehnoblequran or leave a comment below!