Masa Sudah Hampir Tiba!
Dunia kini bergolak dengan pelbagai musibah yang melanda, hasil ciptaan manusia itu sendiri. Daripada bencana alam, tragedi kemanusiaan yang mengorbankan nyawa, kejatuhan ekonomi yang melampau, keruntuhan moral dan akhlak yang serius terutama di kalangan anak muda atau generasi muda, gejala sosial, dan seribu satu macam lagi bencana yang melanda; semua ini hasil ciptaan atau bayaran daripada apa yang manusia itu sendiri kerjakan!
Firman Allah Taala, Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). - (Ar-Rum: 41)
Konspirasi demi kospirasi dirancang untuk memusnahkan agama Allah, namun Allah ada cara untuk selamatkan agamanya. Musibah dan fitnah ciptaan manusia ini bukan kali pertama, malah ratusan kali atau lebih lagi yang telah dirancang dan dilaksanakan, sudah ribuan tahun lagi kejahatan ini berjalan. Namun Allah Taala punya rencana sendiri dalam menggagalkan kejahatan manusia, sesungguhnya Allah jugalah sebaik-baik Perancang dan menipu daya manusia. Musuh Tuhan berfikir mereka berjaya merosakkan agama Allah, namun perancangan Allah jauh lebih hebat! Allah gunakan rancangan musuh untuk menjayakan Islam itu sendiri.
Dunia kini memberikan tumpuan kepada Islam, hendak melihat bagaimana Islam mempertahankan dirinya setelah dilanyak begitu rupa. Umat Islam difitnah, dibunuh, dicabul, dan seribu macam lagi diperlakukan oleh musuh-musuh Allah, dan mereka mengejek dan ingin melihat bagaimana Islam itu dibela. Masha Allah! Rupanya dalam rancangan musuh itu Islam menjadi semakin mulia. Barat tertipu dengan rancangan mereka. Pelan menghina Islam menjadi pelan mempromosikan Islam di seluruh dunia. Umat manusia yang celik dan berakal sudah mula mengkaji tentang Islam, dan sebahagian besar mereka telah pun Islam! Semakin dihina semakin Islam mulia, ajaib sekali rancangan Tuhan ini.
Ini juga menandakan sudah dekat dan tibanya kebangkitan Islam ke dua yang pernah disabdakan oleh baginda Rasul lebih 1400 tahun yang lalu. Islam akan kembali gemilang. Kini kita sedang menyaksikan bagaimana musuh cuba memburukkan Islam, ternyata yang sedang berlaku ialah manusia semakin celik dan sedar, semakin ingin membela Islam. Allah ada cara-Nya sendiri. Pengajaran dan ingatan juga buat pembela atau pejuang kebenaran. Allah ada cara untuk membela agama-Nya, diberikan peluang kepada kita untuk sungguh-sungguh membela Islam, yang bermula dari diri, keluarga, dan masyarakat. Janganlah kita melawan arus kebangkitan, biarkan diri kita dihanyutkan arus kebangkitan Islam ini agar selamat sampai ke destinasi.
Let me know what you think of this article on twitter @tehnoblequran or leave a comment below!