Hakikat Kesyukuran

by on under Tazkirah
8 minute read

Tidaklah mudah untuk menerima sesuatu kurnia dari Allah, dan tidaklah payah pada orang yang selalu bersyukur

Ketahui olehmu wahai sahabatku, bermula lafaz ‘KURNIA’ itu adalah sesuatu yang menunjukkan pemberian atau anugerah yang diberikan oleh pemberi kepada seseorang.

Kurnia juga dikaitkan dengan sesuatu yang membawa makna ‘nikmat’ kerana lazimnya orang yang mendapat pemberian anugerah daripada seseorang akan merasai bahawa itu adalah satu nikmat. Tidak hairanlah kerana kecenderungan untuk mendapat sesuatu nikmat memang dari sifat fitrah makhluk manusia.

Biasanya ia akan disusuli dengan ucapan/perbuatan terima kasih atau bersyukur sebagai respon kepada kurnia yang diperolehinya.

Kurnia digunapakaikan mengikut tiga pengertian berdasarkan tingkat kefahaman/keimanan seseorang iaitu:

1. Pengertian mengikut kebanyakan orang

Mereka mentafsirkan Kurnia berdasarkan kepada kebendaan semata-mata. Bila mendapat rezeki harta benda yang banyak, kejayaan dalam usaha, peningkatan dalam status kehidupan seperti pangkat, berupaya memiliki apa yang dihajati mereka akan menyambutnya dengan gembira dan ceria sekali hinggakan ada yang menzohirkan kesyukurannya dengan majlis kenduri, parti dan sebagainya.

Sebaliknya bila rezeki kurang, gagal dalam usaha, kehidupan dunia merosot mereka akan menganggap sebagai tiada kurnia dari Allah lagi. Mereka akan rasa sedih, resah dan ada yang menterjemahkannya sebagai satu bala atau musibah. Golongan ini memahami kurnia mengikut apa yang diburu oleh kebanyakan orang(ahli dunia).

Mereka akan merasa susah dan penat untuk mendapat sesuatu kurnia kerana terikat dengan keinginan nafsu mereka yang sentiasa mendapatkan sesuatu yang lebih. Mereka banyak bergantung kepada syahwat mereka.

Firman Allah telah menegaskan kepadanya:

Maka tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami pun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka: sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami siksa mereka dengan sekelip mata, maka ketika itu mereka terdiam berputus asa. (QS Al An’aam: 44)

Mereka membaca sesuatu mengikut apa yang tersurat.

2. Pengertian mengikut sebilangan orang

Mereka akan merasa senang dan bertuah bila dapat merasai manis dalam ibadat. Sebaliknya bila timbul rasa segan dan pahit dalam ibadat mereka, mereka bersedih dan menyesali di atas kesalahan dan taksir mereka.

Golongan ini memahami kurnia dengan menilik kepada apa yang dikurniakan tetapi tidak melihat kepada Yang Mengurniakan. Ini adalah kerana mereka suka pada ‘makhluk’(sesuatu selain dari Allah) dengan melupakan Yang Haq. Mereka ini pun akan merasa susah dan perit untuk mendapat sesuatu kurnia dari Allah kerana merasakan banyak pantang larang yang perlu dijaga untuk menjaga ibadat mereka. Mereka masih lagi bergantung dengan amalan mereka(makhluk} sendiri dengan melupakan Allah Yang Maha Pemberi. Mereka ini pun tergolong dalam golongan orang-orang yang membaca sesuatu mengikut apa yang tersurat.

Katakanlah: “Dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Kurnia Allah dan rahmat-Nya itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan.” (QS Yunus: 58)

3. Pengertian mengikut beberapa orang.

Golongan ini melihat dan mentafsir sesuatu itu mengikut maksud dan makna yang tersirat. Mereka memandang sesuatu itu dengan pandangan ‘Ainul Basyirah’ atas jalan “Tafakur” yang seterusnya menterjemahkannya dengan ‘Muraqobah’(mengintai-intai perbuatan, sifat, asma Allah) yang hasil daripada gabungan tersebut.

Mereka melihat dan memahami kurnia itu adalah semata-mata dari Allah. Umpama seorang petani yang dhoif yang mendapat satu hadiah daripada seorang Raja yang mulia. Hadiah itu bukanlah menjadi nikmat kepadanya tetapi Ingatan Raja itu kepadaNya. Betapa bererti padanya ingatan raja kepadanya.

Pandangan hatinya jelas melihat dan kadang-kadang menyaksikan betapa Allah sentiasa mengurniakannya Nur Makrifat untuk membolehkan dia sentiasa memandang dan melihat betapa hukum Allah sentiasa diluluskan ke atasnya. Sama pandangannya sama ada puji manusia, kutukan manusia,bala, taat, sakit, gembira, takut dan sebagainya semuanya datang dari Kehendak dan Kuasa Allah melalui Tajali(penzahiran) sifat KurniaNya yang jelas tertancap pada mata hatinya.

Golongan ini melihat atau menyaksikan kurnia Allah dalam bentuk-bentuk penzahiranNya yang Mutlak. Tidak lepas sesuatu melainkan Allah meliputi tiap-tiap sesuatu. Mereka melihat Allah dalam tiap-tiap sesuatu dan mereka telah sampai kepada hakikat Syukur kerana hakikat Syukur itu ialah melihat kepada yang memberi bukan kepada apa yang diberi.

Katakanlah: “Allah, kemudian biarkanlah mereka berpanjangan dalam kesesatan mereka.” (QS Al An’aam: 91)

Oleh kerana itu tidaklah payah(malahan mudah) untuk mendapatkan kurnia Allah pada orang-orang yang selalu bersyukur bahkan mereka sentiasa tenggelam dalam lautan kurnia Allah Yang Maha Pemberi.

Tiga macam gambaran tingkatan As-Siddiqin yang dapat kita fahami dari contoh 3 orang lelaki yang datang kepada Raja dan bagi setiap orang dari tiga orang itu, Raja memberikan mereka seekor kuda dan sebilah pedang.

Lelaki pertama: Aku sangat senang mendapatkan kuda ini. Aku dapat naik kuda ke mana saja untuk kepentingan-kepentingan. Dengan kuda serta pedang ini pula aku dapat memerangi musuh. Orang ini senang dengan kudanya dan juga dengan pedangnya, kerana maksudnya-maksudnya dapat tercapai dengannya. Tetapi tidak ada di dalam hatinya rasa cinta kepada yang memberikan kuda itu.

Lelaki kedua: Dengan kuda dan pedang ini dapat aku memanfaatkan untuk berkhidmat kepada Raja. Aku dapat ziarah kepadanya dan aku dapat berjuang untuk menghadapi musuh. Dia bergembira dengan kuda dan pedang itu kerana dengannya dia dapat membantu keperluan, hajat dan cita-cita Raja. Dan tidak tergambar sedikit pun di dalam hatinya kepentingan-kepentingan dirinya.

Lelaki ketiga: Setelah menerima kuda dan pedeng dari Raja, hatinya berkata. Raja cinta kepadaku dan menghormati daku, sehingga dia memberi padaku hadiah-hadiah ini. Ini semua adalah perhatian dari Raja terhadapku supaya hatiku sentiasa mengingatkan dan tidak lupa kepadanya. Inilah kegembiraanku dan kesenanganku yang luar biasa. Tidak ada kegembiraan dan kesenangan bagiku yang dapat menyamai kegembiraan dan kesenangan ini. Maka kegembiraan lelaki ketiga ini menunjukkan bagaimana kecintaannya, penghormatannya dan kekagumannya kepada Raja. Sehingga bila-bila saja dan di mana saja, hatinya sentiasa tidak dapat terpisahkan lagi dari Raja yang dicintai dan kagumi itu.

Sahabatku, dengan itu jelaslah pada anda betapa susahnya untuk menerima satu kurnia yang besar(Nur Makrifat) dari Allah tetapi sekali kita dapat bersyukur(mengikut hakikat bersyukur) mudahlah bagi kita menerima kurniaNya yang seterusnya

—————————————-

“Anakku, menurut ahli kebenaran, syukur merupakan kesedaran akan nikmat dengan jalan tunduk berserah diri. Allah memberi nama pada dirinya dengan Syukur yang bererti bahwa Allah membalas mereka yang bersyukur kepada-Nya.

Adapun hakikat syukur menurut Imam Al Qusyairi adalah: “pujian bagi yang berbuat baik dengan menyebut kebaikannya.”

Maka Allah swt adalah Maha Syukur bererti pujian-Nya atas hamba-Nya yang tidak terhitung. Melimpahkan syukur itu adalah sifat-Nya dan Dia-lah pemberi pahala yang tidak terhitung, sekalipun ketaatan hamba-Nya tidak seberapa memadai.

Para arif berkata: “Hanya sedikit di antara hamba-hamba-Ku yang bersyukur” (QS Saba’ [34]: 13) yang bererti “sedikit sekali orang yang dapat menyaksikan bahawa nikmat itu datang dari Allah: hakikat syukur itu adalah keghaiban dari menyaksikan nikmat kerana penyaksian kepada Sang Maha Pemberi Nikmat.

Anakku, manusia biasanya baru bersyukur ketika ia menerima atau berhadapan dengan kenikmatan yang dirasa istimewa. Tetapi ia melupakan kenikmatan-kenikmatan yang biasa ia terima sehari-hari. Ketahuilah bahwa manusia di dalam menghadapi datangnya kenikmatan terbahagi menjadi tiga golongan:-

Golongan pertama adalah orang yang bergembira dengan nikmat-nikmat itu. Apa yang mereka perhatikan hanyalah kenikmatan-kenikmatan tersebut, dengan tidak mengindahkan pada Sang Pemberi / sumber Kenikmatan (Allah). Mereka melihat bahawa seluruh nikmat yang ada padanya berasal dari hasil usahanya sendiri atau dari orang lain, dan sama sekali tidak memandang bahwa nikmat yang ada padanya berasal dari Allah. Jika keyakinannya seperti demikian, maka ia telah menyekutukan Allah secara terang-terangan. Orang yang demikian termasuk orang yang lalai.

Golongan kedua adalah orang yang bergembira dengan kenikmatan kerana ia melihat kenikmatan-kenikmatan tersebut telah diberikan kepada mereka oleh Allah yang memiliki kedudukan istimewa. Allah telah memberikan kenikmatan kepada mereka sebagai rahmat dari-Nya. Orang-orang ini telah berhasil menghapuskan mahluk, dan mampu menyaksikan sebab dari segala sebab musabab dengan melampaui sebab-akibat. Ia adalah seorang hamba yang bersemuka dengan hakikat.

Allah menyebut orang ini sebagai: Katakanlah: “Dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Kurnia Allah dan rahmat-Nya itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan.” (QS Yunus: 58)

Golongan ketiga adalah orang yang bergembira dengan Allah. Bukan kerana kesenangan lahiriah dari kenikmatan itu dan bukan pula kerana kurnia-kurnia batiniah yang measyikkan dirinya, melainkan kerana penglihatannya kepada Allah, konsentrasinya kepada-Nya, dan berpalingnya ia dari segala yang selain-Nya, sehingga ia hanya menyaksikan diri-Nya. Orang ini tidak lagi bergembira dengan pemberian, dan tidak lagi gembira kerana diberi kenikmatan oleh dzat yang agung, melainkan, ia bergembira kerana ia telah bercengkrama dengan Sang Pemberi kenikmatan.

Allah menyebutnya dengan firmannya:

Wahai Daud. katakanlah kepada orang-orang yang jujur: Hendaklah mereka bergembira denganKu, hendaklah mereka merasakan nikmat dengan mengingatKu. (Jami’, Nafahat hlm 336)

Anakku, ketika engkau bersyukur, maka kebaikanmu sebagai hamba adalah kepatuhanmu kepada Allah, sedangkan kebaikan Allah kepadamu adalah memberikan rahmat kepadamu, dengan menjadikannya mampu bersyukur kepada-Nya. Bersyukur atas kemampuan-untuk-bersyukur adalah lebih lengkap daripada bersyukur saja. Inilah nikmat besar. Bukankah banyak orang yang berlimpah kenikmatan tetapi tidak mampu bersyukur?

Mungkin satu hari nanti engkau akan sampai di satu tahap, di mana engkau bersyukur atas kesyukuranmu, dan kemudian engkau bersyukur terhadap kesyukuran atas kesyukuranmu sampai tak terhingga.

Sebagaimana doa Nabi Daud as. “Ilahi, bagaimana aku dapat bersyukur kepada-Mu, sedangkan rasa syukurku itu sendiri adalah nikmat dari-Mu?”

Maka Allah menjawab doanya, “Sekarang, engkau benar-benar telah bersyukur kepada-Ku!”

Anakku, engkau akan lebih bersyukur, jika engkau tidak memandang bahawa dirimu layak mendapatkan nikmat tersebut. Syukur adalah menyibukkan diri dalam memuji-Nya, kerana Dia telah memberimu apa yang engkau tidak pantas menerimanya.

Cuba kita renungkan, seberapa besar kebaikanmu kepada Allah sehingga engkau berhak mendapatkan nikmat tersebut? Memadaikah? Sebandingkah?

Berkata penyair: Betapakah gambaran bersyukur kepadaNya sedangkan syukur itu satu nikmat meskipun zaman berturut dan umur bersambung

Berkata penyair lain: Bagimu Tuhan kami segala puji atas setiap nikmat Sebahagian nikmat-nikmat itu, kataku puja dan puji untukMu Tidak ada puji selain Engkau kurniai nikmat Maha Suci Engkau, tidaklah kuat hamba atas memujinya

Rasulullah s.a.w pernah berdoa sebagai suatu pengakuan dari baginda akan tidak upayaannya hendak menunaikan sepenuh kesyukuran kepada Allah Ta’ala:

Ya Allah, aku berlindung dengan keredhaanMu daripada kemurkaanMu, dengan kemaafanMu daripada siksaanMu, dan aku berlindung denganMu daripada tidak mampu memujiMu seperti Engkau memuji diriMu sendiri.

comments powered by Disqus