Tujuan Ziarah Maqam Aulia

by on under Tazkirah
1 minute read

Seorang bertanya kepada al-Habib Umar bin Hafidz, dia menanyakan: Kenapa ziarah maqam Aulia..??!! Sedangkan mereka tiada memberi kuasa atau manfaat apa-apa dan tempat meminta hanya pada Allah…??!”

Al-Habib Umar bin Hafidz lalu menjawab : “Benar wahai saudaraku, aku juga berpendapat sama denganmu, bahawa mereka tiada mempunyai kekuasaan dan manfaat apa-apa. Tetapi sedikit perbezaan ku dengan dirimu, kerana aku lebih senang menziarahi mereka kerana bagiku mereka tetap hidup dalam membangkitkan jiwa yang mati ini untuk cinta kepada Allah..

Tapi aku sangat hairan, kenapa engkau tiada melarang aku menziarahi ahli dunia, mereka juga tiada kuasa dan manfaat apa-apa. Bahkan duduk dengan mereka mematikan hati dan membuat lupa pada Allah. Yang mana kehidupan mereka bagiku seperti mayat yang berjalan. Rumah dan tempat tinggal mereka adalah tempat yang tiada membangkitkan jiwa untuk cinta pada Allah.

Hakikat kematian dan kehidupan di sisi Allah adalah jiwa. Banyak mereka yang dilihat hidup tapi sebenarnya mati, banyak mereka yang dilihat mati tapi sebenarnya hidup, banyak yang menziarahi pusara terdiri dari orang yang mati, sedangkan dalam pusara itulah orang yang hidup. Aku lebih senang menziarahi maqam kekasih Allah dan para syuhada’ walaupun hanya pusara, tetapi ia mengingatkan aku akan kematian, kerana ia mengingatkan aku bahawa hidup adalah perjuangan, kerana aku dapat melihat jiwa mereka ada perjuangan cinta yang hebat sehingga mereka dicintai oleh Tuhannya lantaran kebenaran cinta mereka. Wahai saudaraku, aku ziarah maqam Aulia, kerana pada maqam mereka ada cinta, lantaran Cinta Allah pada mereka, seluruh tempat bersimpuh mereka dicintai Allah. Cinta tiada mengalami kematian, ia tetap hidup dan terus hidup dan akan melimpah kepada para pencintanya.

Aku berziarah kerana sebuah cinta, juga kerana ingin mengambil semangat mereka, agar aku dapat mengikuti mereka dalam mujahadahku. Aku mengangkat tangan di sisi maqam mereka, bukan meminta kuasa/manfaat dari mereka, akan tetapi memohon kepada Allah agar aku juga dicintai Allah, sebagaimana mereka dicintai Allah.

comments powered by Disqus