Tempat Paling Mulia di Dunia
Ulama telah berijma’ bahawa tempat yang dihuni oleh jasad Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam adalah paling mulia di permukaan bumi, melebihi Ka’bah sekalipun. Sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu ‘Asakir, (Abul Walid) al-Baji dan al-Qadli ‘Iyyadl (dengan lafadh “tempat kubur Nabi”), bahkan Tajuddin al-Subki menukil sebagaimana disebutkan oleh al-Sayyid al-Samhudi di dalam kitab Fadloilul Madinah dari Ibnu ‘Aqil al-Hanbali bahawa “Tempat yang dikuburkan (qubira) jasad al-Musthofa Sallalahu Alaihi Wasallam juga lebih mulia daripada ‘Arsy”. Al-Fakihani memperjelas tentang kemuliaannya atas seluruh langit dengan lafadhnya: Aku berkata: “dan juga lebih mulia dari seluruh langit, dan aku tidak melihat ulama yang mengingkari yang demikian”.
Syaikh Nuruddin al-Hallabi di dalam al-Sirah al-Halabiyyah juga menerangkan: “Ulama telah berijma’ bahawa tempat dimakamkan padanya jasad Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam merupakan tempat paling mulia diseluruh bumi, bahkan lebih mulia dari Ka’bah al-Syarifah. Sebahagian ulama berkata: bahkan lebih mulia dari seluruh langit hingga ‘Arsy sekalipun”.
Masjidil Haram, Mekah Masjid Nabawi, Madinah Masjid Al Aqsa, Palestin
Dari Abi Hurairah ra. Nabi Muhammad Sallalahu Alaihi Wasallam bersabda, “Satu solat di masjid ku ini (masjid Nabawi) lebih baik dari seribu solat di tempat lain kecuali Masjidil-Haram”. (HR Bukhari dan Muslim)
“Solat di masjidku ini (Masjid Nabawi) lebih afdal dari 1,000 solat di masjid lain kecuali masjidil Haram dan solat di masjid Haram lebih afdal dari 100,000 solat di masjid lain”. (HR Ahmad dan Ibnu Majah).
Dari Jabir, katanya, Nabi Sallalahu Alaihi Wasallam bersabda, Nabi Ibrahim telah menjadikan Makkah sebagai Tanah Haram, sementara Aku pula menjadikan Madinah sebagai Tanah Haram meliputi kawasan di antara dua kawasan berbatu hitam. Pokoknya tidak boleh dipotong dan binatang buruannya tidak boleh diburu. (HR. Muslim)
Menurut Imam al-Razi RH: Maksud al-haram (sama ada bulan haram atau tempat haram) ialah maksiat padanya dibalas dengan dosa yang lebih besar dan kebaikan dibalas dengan pahala yang lebih besar. (al-Razi, jil.16, ms. 53).
Dari Abu Hurairah ra. Nabi Muhammad Sallalahu Alaihi Wasallam bersabda, “Tidak sepatutnya (bersusah payah) keluar belayar (untuk menziarahi mana-mana masjid) kecuali ke tiga buah masjid, Masjidil Haram di Mekkah, Masjidir Rasul ( Masjidi an-Nabawi di Madinah ) dan Masjidil Aqsa di Palestin.” (HR Bukhari)
Wallahu a’lam.
Let me know what you think of this article on twitter @tehnoblequran or leave a comment below!