SELAWAT TAFRIJIYAH

by on under Tazkirah
3 minute read

Alhamdulillah, Pagi Jumaat yang penuh dengan keberkatan, diizinkan oleh Allah ta’ala untuk bertemu dengan Tuan Guru Ustaz Sidek Noor hafizhahullah.

Alhamdulillah beliau telah mengijazahkan kepada kita musalsal tasbih berserta ijazah Selawat Tafrijiyah untuk dijadikan sebagai amalan harian.

Selawat ini juga disebut sebagai Selawat Nariyah (yang mana kesannya sangat cepat seperti api) dan ia telah bersambung kepada guru-guru sehinggalah kepada cicit Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

Cicit Baginda tersebut bernama Imam Ali Zainul Abidin bin Hussein bin Ali bin Abi Talib Karamallahu Wajhah. Beliau ialah cicit Baginda yang terselamat daripada terbunuh ketika peristiwa Karbala.

Kemudian, pesan Tuan Guru, sekiranya ada hajat yang besar-besar : Maka amalkanlah Selawat Tafrijiyah sebanyak 4444 kali.

Inilah perkara yang serupa seperti yang kita telah perolehi daripada Tuan Guru Abuya Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari hafizhahullah, Guru Mulia Ustaz Yussaine Yahya hafizhahullah, Guru Mulia Syeikh Nazrul Nasir Al-Azhari hafizhahullah dan ramai lagi.

Antara amalan yang boleh dibuat seperti yang dipesan oleh Tuan Guru ialah:

1) Berselawat pada satu masa yang khusus bila-bila untuk kita beramal setiap hari

2) Berselawat dengan bilangan yang khusus seberapa banyak yang kita mampu untuk Istiqamah seperti 11 kali atau 21 kali atau sebagainya setiap hari

3) Jika ramai orang mempunyai hajat yang serupa, boleh diniatkan secara berjemaah dan dibahagikan bilangan 4444 tersebut

4) Selepas cukup bilangan, dirikanlah solat sunat Hajat, bertawasul dengan amalan selawat dan solat hajat.

Pesan Tuan Guru juga: Amalan ini juga boleh dirujuk sebagai panduan daripada kitab Lum’atul Aurad yang disusun oleh al-Allamah al-Marhum Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani rahimahullah. Wallahua’lam.

Jazakallahkhair kepada Guru Mulia Sidi Afiq Faiz hafizhahullah, mantan Timbalan Presiden GAMIS Nasional Sesi 2019 kerana sudi untuk menjemput kita untuk menginap di terataknya.

Semoga beliau sekeluarga dimurahkan rezeki oleh Allah ta’ala.

FAEDAH AMALAN BERSELAWAT

Pada halaman ke-51 sehingga 54, telah disebutkan di dalam kitab Lum’atul Aurad bahawa:

Dan setengah daripada Selawat yang mujarabah itu Selawat Tafrijiyah, dan dikatakan Selawat Nariyah. Dibangsakan Selawat ini Zainul Abidin iaitu Ali bin Hussein bin Ali Abi Talib رضي الله عنه. Maka, Selawat ini banyak khasiatnya.

Kata Imam ad-Dainuri: Barangsiapa membaca Selawat ini tiap-tiap lepas sembahyang 11 kali, dijadikan dia wirid, nescaya tiada berputusan rezekinya dan mencapai ia akan martabat yang tinggi. Dan barangsiapa mengkali membaca akan dia tiap-tiap lepas sembahyang Subuh, tiap-tiap hari 41 kali, nescaya mencapai ia akan kehendaknya.

Dan barangsiapa mengkali membaca akan dia tiap-tiap hari 100 kali, nescaya hasil matlubnya lebih daripada kehendaknya. Dan barangsiapa mengkali membaca akan dia tiap-tiap hari 313 bagi membukakan rahsia, nescaya melihat ia akan yang dikehendak.

Barangsiapa mengkali membaca akan dia tiap-tiap hari 1000 kali, nescaya mencapai ia akan barang yang tiada dapat mensifatkan dia oleh orang yang mensifat daripada barang yang tiada melihat oleh mata, dan tiada mendengar oleh telinga, dan tiada terlintas pada hati.

(Kata Imam) Al-Qurtubi: Barangsiapa mengkali atas Selawat ini tiap-tiap hari 41 kali atau 100 kali atau lebih, nescaya diangkat oleh Allah ta’ala akan dukacitanya, dan mudharatnya dan diluaskan rezekinya, dan dibukakan baginya segala pintu kebajikan,

Dan diluluskan perkataannya, dan diamankan dia daripada datang hawadith zaman, dan daripada papa, dan dicampakkan baginya kasih sekalian manusia akan dia, dan menjayakan pintanya, dan tiada hasil segala faedah ini melainkan dengan mengkali atasnya.

Dan barangsiapa hendak menghasilkan suatu pekerjaan yang besar atau hendak menolakkan bala’ yang datang, maka hendaklah membaca akan Selawat ini 4444 kali dan mentawasul dengan Nabi yang mempunyai kemegahan yang besar dan minta doa ia nescaya dapat maksudnya insya-Allahu ta’ala.

Kata Sayyidi Muhammad Haqqi: Telah aku kerjakan Selawat ini kepada seorang perempuan yang telah buta matanya sudah 25 tahun, maka membaca perempuan itu di dalam 8 hari, maka terbuka matanya.

والله على كل شيء قدير وبالاجابة جدير

Dan iaitu inilah Selawatnya:

اللهم صلِّ صلاةً كاملةً، وسلّم سلامًا تامًّا على سيدنا محمّد، الذي تنحلُّ به العقد وتنفرجُ به الكرب، وتُقضى به الحوائجُ، وتُنالُ به الرغائب وحسن الخواتيم، ويُستسقى الغمام بوجهه الكريم، وعلى ءاله وصحبه في كل لمحة ونفس بعدد معلوم لك

Faedah:

Boleh dibaca dengan berlagu, antaranya seperti yang pernah dibaca oleh Guru Mulia Syeikh Nazrul Nasir Al-Azhari hafizhahullah.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

comments powered by Disqus