Kisah Nabi Idris AS

by on under Tazkirah
15 minute read

Idris atau Nabi Idris AS (Arab: إدريس ) adalah salah seorang rasul yang merupakan putra Adam yang pertama kali diberikan hak kenabian oleh Allah setelah Adam sendiri dan Shiyth a.s. (menurut Yahudi dan Nasrani). Dalam Alkitab, Nabi Idris AS dikenal dengan nama Henokh.

Silsilah Nabi Idris AS adalah, Idris bin Yarid bin Mahlail bin Qainan bin Anusy bin Syits bin Adam. Menurut kitab tafsir, nabi Idris AS hidup selama 1000 tahun serta berdakwah kepada kaumnya yang bernama Zuriat Qabil dan Memphis.

Nabi Idris AS adalah keturunan keenam dari Nabi Adam, putra dari Yarid bin Mihla’iel bin Qinan bin Anusy bin Shiyth bin Adam AS yang menjadi keturunan pertama yang diutus menjadi nabi setelah Adam dan Shiyth. Menurut kitab tafsir, beliau hidup 1.000 tahun setelah Nabi Adam wafat.

Nabi Idris AS dianugerahi kepandaian dalam pelbagai disiplin ilmu, kemahiran, serta kemampuan untuk menciptakan alat-alat untuk mempermudah pekerjaan manusia, seperti pengenalan tulisan, ilmu matematik, astronomi, dan sebagainya. Menurut suatu kisah, terdapat suatu masa di mana kebanyakan manusia akan melupakan Allah sehingga Allah menghukum manusia dengan bentuk kemarau yang berkepanjangan. Nabi Idris AS pun turun tangan dan memohon kepada Allah untuk mengakhiri hukuman tersebut. Allah mengabulkan permohonan itu dan berakhirlah musim kemarau tersebut dengan ditandai turunnya hujan.

Nabi Idris AS diperkirakan bermukim di Mesir di mana ia berdakwah untuk menegakkan agama Allah, mengajarkan tauhid, dan beribadah menyembah Allah serta memberi beberapa pendoman hidup bagi pengikutnya supaya selamat dari seksa dunia dan akhirat.

Menurut buku berjudul The Prophet of God Enoch: Nabiyullah Idris, Idris adalah sebutan atau nama Arab bagi Enoch, nenek moyang Nabi Nuh. Beliau dinyatakan di dalam Al-Quran sebagai manusia pilihan Allah sehingga Dia mengangkatnya ke langit. Ibnu Abi Hatim dalam tafsirnya meriwayatkan bahawa Nabi Idris As wafat saat beliau sedang berada di langit keempat ditemani oleh seorang malaikat. Beliau hidup sampai usia 82 tahun

Diangkat Darjat ke Tingkat yang Tinggi

Allah SWT berfirman dalam surah Maryam ayat 56 dan 57 yang bermaksud:

Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Idris; sesungguhnya adalah ia amat benar (tutur katanya dan imannya), serta ia seorang Nabi. Dan Kami telah mengangkatnya ke tempat yang tinggi darjatnya.

Dalam sebuah hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim menyebut bahawa Rasulullah Sallalahu alaihi Wasallam bertemu dengan Nabi Idris AS di kawasan langit yang keempat iaitu ketika Baginda Sallalahu alaihi Wasalla melakukan perjalanan Israk dan Mikraj.

Dalam Qasas al-Anbiya’, Imam Ibn Kathir menyebut kisah yang diriwayatkan daripada Hilal bin Yasaf, beliau berkata:

“Ibn Abbas bertanya kepada Ka’ab:

‘Apakah maksud ayat Allah Taala terhadap Idris; dan Kami angkatnya ke tempat yang tinggi?’

Ka’ab berkata:-

‘Adapun Idris, sesungguhnya Allah mewahyukan kepada: ‘Sesungguhnya Aku mengangkat (amalan) bagimu setiap hari seumpama amalan seluruh anak Adam, dan Aku suka sekiranya engkau menambah amalan.’

Maka datanglah malaikat kepada Nabi Idris AS.

Nabi Idris AS berkata:

‘Sesungguhnya Allah mewahyukan kepadaku begini-begini, bolehkah engkau sampaikan kepada malaikat maut agar dia menangguhkan ajalku sehingga aku dapat menambah amalan?’

Malaikat itu pun membawa Nabi Idris AS dengan dua sayapnya naik ke langit. Apabila mereka tiba di langit keempat, mereka bertemu dengan malaikat maut yang sedang turun. Lalu malaikat itu berbicara dengan malaikat maut tentang permintaan Nabi Idris AS yang dikatakan kepadanya.

Malaikat maut bertanya: ‘Di mana Idris?’

Malaikat itu menjawab: ‘Ia ada di belakangku.’

Malaikat maut berkata: ‘Amat menghairankan. Aku telah diutus untuk mencabut nyawanya di langit keempat tetapi aku berfikir, ‘Bagaimana aku hendak mencabut nyawanya di langit keempat sedangkan dia berada di bumi?’

Lalu malaikat maut mencabut nyawanya di sana.”

Maka demikianlah maksud Allah SWT dalam surah Maryam ayat 57 yang bermaksud:-

“Dan Kami mengangkatnya ke tempat yang tinggi.”

Menurut Hasan al-Basri ketika mentafsirkan ayat tersebut iaitu ‘diangkat ke tempat yang tinggi’ bermaksud diangkat ke syurga.

Mujahid pula berpandangan bahawa Nabi Idris AS diangkat dalam keadaan masih hidup sebagaimana halnya Nabi Isa AS. Sementara itu, Ibnu Abi Najih berkata dari Mujahid dalam firman Allah Ta’ala, “Dan Kami telah mengangkatnya ke martabat yang tinggi.” Dia berkata, Idris diangkat ke langit dalam keadaan hidup, belum dicabut nyawanya sebagaimana ‘Isa Alaihissalam (3), namun hal ini harus dikaji lebih dalam lagi, adapun jika maksudnya adalah dia diangkat ke langit dalam keadaan masih hidup kemudian dicabut nyawanya di sana maka tidak dapat dinafikan dari apa yang diriwayatkan oleh Ka’ab Al-Ahbar. Wallahu’alam.

Nabi Idris As Kedatangan Tamu

Nama Nabi Idris As yang sebenarnya adalah ‘Akhnukh’. Sebab beliau dinamakan Idris, kerana beliau banyak membaca, mempelajari (tadarrus) kitab Allah SWT.

Setiap hari Nabi Idris as menjahit qamis (baju kemeja), setiap kali beliau memasukkan jarum untuk menjahit pakaiannya, beliau mengucapkan tasbih. Jika pekerjaannya sudah selesai, kemudian pakaian itu diserahkannya kepada orang yang menempahnya dengan tanpa meminta upah. Walaupun demikian, Nabi Idris as masih sanggup beribadah dengan amalan yang sukar untuk digambarkan. Sehingga Malaikat Maut sangat rindu berjumpa dengan beliau. Nabi Idris AS juga menjahit pakaiannya sendiri, sambil sentiasa berzikir kepada Allah SWT sewaktu menjahit pakaiannya, maka dibuka semula jahitan tersebut dan menjahitnya kembali sambil berzikir kepada Allah SWT. Dikisahkan pula saat Iblis mendekati Idris yang sedang menjahit. Menurut Imam Sanusi dalam kitab Syarah Maqro’-nya menuturkan, Idris tidak memasukkan jarum kecuali menyebut asma Allah begitupun ketika mengeluarkan. Suatu ketika syaitan mendatanginya: “Apakah Tuhanmu mampu menjadikan dunia pada biji kacang ini?” tutur syaitan. Idris menjawab: “Bahkan Allah kuasa memasukkan seluruh dunia pada lubang jarum ini.” Lalu beliau mencocok mata syaitan dengan jarumnya. Subhanallah.

Kemudian Malaikat Maut bermohon kepada Allah SWT, agar diizinkan untuk pergi menemui Nabi Idris as Setelah memberi salam, Malaikat pun duduk.

Nabi Idris as mempunyai kebiasaan berpuasa sepanjang masa. Apabila waktu berbuka telah tiba, maka datanglah malaikat dari Syurga membawa makanan Nabi Idris as, lalu beliau menikmati makanan tersebut.

Kemudian baginda beribadah sepanjang malam. Pada suatu malam Malaikat Maut datang menemuinya, sambil membawa makanan dari Syurga. Nabi Idris as menikmati makanan itu. Kemudian Nabi Idris as berkata kepada Malaikat Maut: “Wahai tuan, marilah kita nikmati makanan ini bersama-sama.” Tetapi Malaikat itu menolaknya.

Nabi Idris as terus melanjutkan ibadahnya, sedangkan Malaikat Maut itu dengan setia menunggu sampai terbit matahari. Nabi Idris as merasa heran melihat sikap Malaikat itu.

Kemudian beliau berkata: “Wahai tuan, mahukah tuan berkeliling bersama saya untuk melihat keindahan alam persekitaran? Malaikat Maut menjawab: Baiklah Wahai Nabi Allah Idris.”

Maka berjalanlah keduanya melihat alam persekitaran dengan berbagai jenis tumbuh-tumbuhan hidup di situ. Akhirnya ketika mereka sampai pada suatu kebun, maka Malaikat Maut berkata kepada Nabi Idris as : “Wahai Idris, adakah tuan izinkan saya untuk mengambil ini untuk saya makan? Nabi Idris as pun menjawab: Subhanallah, mengapa malam tadi tuan tidak mau memakan makanan yang halal, sedangkan sekarang tuan mau memakan yang haram?”

Malaikat Izrail mencabut nyawa Nabi Idris AS atas permintaannya

Kemudian Malaikat Maut dan Nabi Idris as meneruskan perjalanan mereka. Tidak terasa oleh mereka bahawa mereka telah berkeliling selama empat hari. Selama mereka bersahabat, Nabi Idris as menemui beberapa keanehan pada diri temannya itu. Segala tindak-tanduknya berbeza dengan sifat-sifat manusia biasa. Akhirnya Nabi Idris as tidak dapat menahan hasrat ingin tahunya itu.

Kemudian beliau bertanya: “Wahai tuan, bolehkah saya tahu, siapakah tuan yang sebenarnya? Saya adalah Malaikat Maut.”

“Tuankah yang bertugas mencabut semua nyawa makhluk?” “Benar ya Idris.”

“Sedangkan tuan bersama saya selama empat hari, adakah tuan juga telah mencabut nyawa-nyawa makhluk?”

“Wahai Idris, selama empat hari ini banyak sekali nyawa yang telah saya cabut. Roh makhluk-makhluk itu bagaikan hidangan di hadapanku, aku ambil mereka bagaikan seseorang sedang menyuap-nyuap makanan.”

“Wahai Malaikat, apakah tujuan tuan datang, apakah untuk ziarah atau untuk mencabut nyawaku?”

“Saya datang untuk menziarahimu dan Allah SWT telah mengizinkan niatku itu.”

“Wahai Malaikat Maut, kabulkanlah satu permintaanku kepadamu, iaitu agar tuan mencabut nyawaku, kemudian tuan mohonkan kepada Allah agar Allah menghidupkan saya kembali, supaya aku dapat menyembah Allah Setelah aku merasakan dahsyatnya sakaratul maut itu.”

Malaikat Maut pun menjawab: “Sesungguhnya saya tidaklah mencabut nyawa seseorang pun, melainkan hanya dengan keizinan Allah.”

Lalu Allah SWT mewahyukan kepada Malaikat Maut, agar ia mencabut nyawa Nabi Idris As Maka dicabutnyalah nyawa Idris saat itu juga. Maka Nabi Idris as pun merasakan kematian ketika itu.

Di waktu Malaikat Maut melihat kematian Nabi Idris as itu, maka menangislah ia. Dengan perasaan hiba dan sedih ia bermohon kepada Allah supaya Allah menghidupkan kembali sahabatnya itu. Allah mengabulkan permohonannya, dan Nabi Idris as pun dihidupkan oleh Allah SWT kembali.

Malaikat Izrail membawa Nabi Idris As ke Syurga dan ke Neraka

Kemudian Malaikat Maut memeluk Nabi Idris AS, dan ia bertanya: “Wahai saudaraku, bagaimanakah tuan merasakan kesakitan maut itu? Bila seekor binatang dilapah kulitnya ketika ia masih hidup, maka sakitnya maut itu seribu kali lebih sakit daripadanya. Padahal-kelembutan yang saya lakukan terhadap tuan, ketika saya mencabut nyawa tuan itu, belum pernah saya lakukan terhadap sesiapa pun sebelum tuan. Wahai Malaikat Maut, saya mempunyai permintaan lagi kepada tuan, iaitu saya sungguh-sungguh berhasrat melihat Neraka, supaya saya dapat beribadah kepada Allah SWT lebih banyak lagi, setelah saya menyaksikan dahsyatnya api neraka itu. Wahai Idris AS saya tidak dapat pergi ke Neraka jika tanpa izin dari Allah SWT.”

Akhirnya Allah SWT mewahyukan kepada Malaikat Maut agar ia membawa Nabi Idris AS ke dalam Neraka. Maka pergilah mereka berdua ke Neraka. Di Neraka itu, Nabi Idris AS dapat melihat semua yang diciptakan Allah SWT untuk menyiksa musuh-musuh-Nya. Seperti rantai-rantai yang panas, ular yang berbisa, kala, api yang membara, timah yang mendidih, pokok-pokok yang penuh berduri, air panas yang mendidih dan lain-lain.

Setelah merasa puas melihat keadaan Neraka itu, maka mereka pun pulang. Kemudian Nabi Idris AS berkata kepada Malaikat Maut: “Wahai Malaikat Maut, saya mempunyai hajat yang lain, iaitu agar tuan dapat menolong saya membawa masuk ke dalam Syurga. Sehingga saya dapat melihat apa-apa yang telah disediakan oleh Allah bagi kekasih-kekasih-Nya. Setelah itu saya pun dapat meningkatkan lagi ibadah saya kepada Allah SWT. Saya tidak dapat membawa tuan masuk ke dalam Syurga, tanpa perintah dari Allah SWT.” Jawab Malaikat Maut.

Lalu Allah SWT pun memerintahkan kepada Malaikat Maut supaya ia membawa Nabi Idris AS masuk ke dalam Syurga.

Kemudian pergilah mereka berdua, sehingga mereka sampai di pintu Syurga dan mereka berhenti di pintu tersebut. Dari situ Nabi Idris AS dapat melihat pemandangan di dalam Syurga. Nabi Idris AS dapat melihat segala macam kenikmatan yang disediakan oleh Allah SWT untuk para wali-waliNya. Berupa buah-buahan, pokok-pokok yang indah dan sungai-sungai yang mengalir dan lain-lain.

Kemudian Nabi Idris AS berkata: “Wahai saudaraku Malaikat Maut, saya telah merasakan pahitnya maut dan saya telah melihat dahsyatnya api Neraka. Maka maukah tuan memohonkan kepada Allah untukku, agar Allah mengizinkan aku memasuki Syurga untuk dapat meminum airnya, untuk menghilangkan kesakitan mati dan dahsyatnya api Neraka?”

Maka Malaikat Maut pun bermohon kepada Allah. Kemudian Allah memberi izin kepadanya untuk memasuki Syurga dan kemudian harus keluar lagi. Nabi Idris AS pun masuk ke dalam Syurga, beliau meletakkan kasutnya di bawah salah satu pohon Syurga, lalu ia keluar kembali dari Syurga. Setelah beliau berada di luar, Nabi Idris AS berkata kepada Malaikat Maut: “Wahai Malaikat Maut, aku telah meninggalkan kasutku di dalam Syurga.

Malaikat Maut pun berkata: Masuklah ke dalam Syurga, dan ambil kasut tuan.”

Maka masuklah Nabi Idris AS, namun beliau tidak keluar lagi, sehingga Malaikat Maut memanggilnya: “Ya Idris, keluarlah!. Tidak, wahai Malaikat Maut, kerana Allah SWT telah berfirman bermaksud:

“Setiap yang berjiwa akan merasakan mati.” (Ali-Imran: 185)

Sedangkan saya telah merasakan kematian. Dan Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan tidak ada seorang pun daripadamu, melainkan mendatangi Neraka itu.” (Maryam: 71)

Dan saya pun telah mendatangi Neraka itu. Dan firman Allah lagi yang bermaksud:

“… Dan mereka sekali-kali tidak akan dikeluarkan daripadanya (Syurga).” (Al-Hijr: 48)

Maka Allah menurunkan wahyu kepada Malaikat Maut itu: “Biarkanlah dia, kerana Aku telah menetapkan di azali, bahwa ia akan bertempat tinggal di Syurga.”

Allah menceritakan tentang kisah Nabi Idris AS ini kepada Rasulullah Sallahu alaihi wasallam dengan firman-Nya bermaksud: “Dan ceritakanlah (hai Muhammad kepada mereka, kisah) Idris yang tersebut di dalam Al-Quran. Sesungguhnya ia adalah seorang yang sangat membenarkan dan seorang Nabi. Dan kami telah mengangkatnya ke martabat yang tinggi.” (Maryam: 56-57)

Nabi Idris di dalam Al-Qur’an dan Hadits

Terdapat empat ayat yang berhubungan dengan Nabi Idris AS dalam Al-Qur’an, dimana ayat-ayat tersebut saling terhubung di dalam Surah Maryam (Maryam) dan Surah Al-Anbiya’ (Nabi-nabi).

“Dan ceritakanlah (hai Muhammad kepada mereka, kisah) Idris (yang tersebut) di dalam Al-Quran. Sesungguhnya ia adalah seorang yang sangat membenarkan dan seorang nabi. Dan Kami telah mengangkatnya ke martabat yang tinggi. (Qur’an 19:56-57)”

“Dan (ingatlah kisah) Ismail, Idris dan Dzulkifli. Semua mereka termasuk orang-orang yang sabar. Kami telah memasukkan mereka ke dalam rahmat Kami. Sesungguhnya mereka termasuk orang-orang yang soleh.” (Qur’an 21:85-86)”

Dalam sebuah hadits, Nabi Idris AS disebutkan sebagai salah seorang dari nabi-nabi pertama yang berbicara dengan Muhammad dalam salah satu syurga selama Mi’raj.

Diriwayatkan dari Abbas bin Malik: … Gerbang telah terbuka, dan ketika aku pergi ke syurga keempat, di sana aku melihat Idris. Jibril berkata (kepadaku). ‘Ini adalah Idris; berilah dia salammu.’ Maka aku mengucapkan salam kepadanya dan ia mengucapkan salam kepadaku dan berkata. ‘Selamat datang, O saudaraku yang alim dan nabi yang saleh.; … Sahih Bukhari 5:58:227

Nabi Idris AS dipercayai sebagai seorang penjahit berdasarkan hadits ini:

Ibnu Abbas berkata, “Daud adalah seorang pembuat perisai, Adam seorang petani, Nuh seorang tukang kayu, Idris seorang penjahit dan Musa adalah penggembala.” (dari al-Hakim)

Dicintai Allah SWT, Dihormati Manusia

Menurut Dr. Hamid Ahmad al-Tahir dalam kitabnya Qasas al-Anbiya’’ li al-Atfal, Nabi Idris AS tidak hanya menjalankan ibadah begitu sahaja, tetapi Baginda AS berusaha untuk memberikan ibadah dan pengabdian yang terbaik kepada Allah SWT iaitu dengan melakukan solat tepat pada waktunya, menjalankan ibadah puasa dan selalu ingat kepada golongan fakir dan miskin.

Ketika Nabi Idris AS mencapai kualiti ilmu pengetahuan yang tinggi dan pengabdian yang sempurna kepada Allah SWT, penduduk di setiap negeri yang disinggahinya pun mencintainya, sehinggakan semua masyarakat di setiap wilayah dan negara yang disinggahinya berusaha memperlihatkan kepada dunia bahawa Nabi Idris AS berasal dari negeri mereka.

Contohnya, masyarakat Mesir memanggil Nabi Idris AS dengan sebutan ‘Hurmus al-Haramisah’ dan mereka mengatakan:-

‘Nabi Idris AS lahir di Memphis, ibu Kota Mesir zaman Firaun.’

Mereka juga mengatakan:-

‘Sesungguhnya Baginda AS telah mengelilingi pelbagai negara, kemudian Baginda AS kembali semula ke Mesir.’

Orang Yahudi pula memanggil dengan sebutan ‘Akhnukh’. Mereka mengatakan:-

‘Akhnukh (Idris AS) ialah seorang Nabi. Baginda banyak melakukan ibadah kepada Allah SWT dan Allah SWT sangat mencintainya.’

Oleh sebab itu Allah SWT berkenan mengangkat Baginda AS ke langit.

Para penduduk Yunani pula memanggil Nabi Idris AS dengan sebutan ‘Urin’ ketiga. Mereka mengangkatnya menjadi salah seorang hakim yang sangat dihormati.

Semua ini menunjukkan Nabi Idris AS sangat dicintai masyarakat dan penduduk pelbagai penjuru dunia kerana Baginda AS telah mengajarkan pelbagai ilmu pengetahuan yang bermanfaat kepada mereka. Baginda AS mengajar mereka cara menyembah Allah SWT dengan cara yang terbaik dan berdoa kepada-Nya.

Para malaikat sangat mencintai Nabi Idris AS kerana Baginda AS seorang yang gemar membaca kitab-kitab Allah SWT yang diturunkan kepada Nabi Shith AS berupa suhuf (lembaran-lembaran). Selain itu Allah SWT menurunkan kepada Baginda AS 30 sahifah.

Baginda AS membacanya siang dan malam. Mulut Baginda AS tidak pernah berhenti dari mengucapkan tasbih menyucikan Allah SWT.

Mewariskan Ilmu

Allah SWT mengangkatnya ke tempat yang tinggi iaitu Allah SWT mengangkat darjat Nabi Idris AS. Di dunia manusia sangat mencintainya, mengingatinya dengan segala amalan dan perbuatan baiknya.

Sedangkan di langit, Allah SWT mengangkat darjatnya di sisi Allah SWT hingga dekat dengan-Nya. Nabi Idris AS sangat dekat dan sangat dicintai Allah SWT.

Semua ini merupakan penghormatan dan kemuliaan kepada Nabi Idris AS.

Sebelum Nabi Idris AS wafat, Baginda AS mengajarkan kepada anak-anaknya cara untuk menjadi seorang hamba yang beribadah kepada Allah SWT.

Baginda AS juga memberikan wasiat kepada mereka agar selalu menjaga keimanan kepada Allah SWT dan tidak berlaku kufur kepada-Nya. Selain itu, Nabi Idris AS juga mengajar pelbagai ilmu pengetahuan yang bermanfaat yang telah Baginda AS pelajari.

Baginda AS juga telah mewasiatkan kepada mereka agar berjuang memerangi anak cucu Qabil yang menyembah berhala dan kufur kepada Allah SWT.

Nasihat & Ajaran

Berikut ini adalah beberapa nasihat dan untaian kata mutiara Nabi Idris AS

  1. Kesabaran yang disertai iman kepada Allah (akan) membawa kemenangan.

  2. Orang yang bahagia adalah orang yang waspada dan mengharapkan syafaat dari Tuhannya dengan amal-amal solehnya.

  3. Bila kamu memohon sesuatu kepada Allah dan berdoa, maka ikhlaskanlah niatmu. Demikian pula (untuk) puasa dan solatmu.

  4. Janganlah bersumpah palsu dan janganlah menutup-nutupi sumpah palsu supaya kamu tidak ikut berdosa.

  5. Taatlah kepada rajamu dan tunduklah kepada pembesarmu serta penuhilah selalu mulutmu dengan ucapan syukur dan puji kepada Allah.

  6. Janganlah iri hati kepada orang-orang yang baik nasibnya kerana mereka tidak akan banyak dan lama menikmati kebaikan nasibnya.

  7. Barang siapa melampaui kesederhanaan tidak sesuatu pun akan memuaskannya.

  8. Gemar memperdalam dan mempelajari ilmu berguna dalam menambah ketakwaan kepada Allah.

  9. Mengamalkan segala ilmu yang dikuasai pada jalan yang diredhai Allah.

comments powered by Disqus