4 Selawat yang Paling Pendek

by on under Tazkirah
3 minute read

Kita telah simpulkan beberapa selawat yang ringkas untuk diamalkan oleh setiap orang yang beriman dan mencintai kepada Sayyiduna Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم.

Antaranya ialah Selawat Imam Syibli (صلى الله عليك محمد), Selawat Nabi Khidir (صلى الله على سيدنا محمد), Selawat Jibril (صلى الله على محمد) dan Selawat Dhamir (اللهم صل عليه).

1. Selawat Imam Syibli

Selawat ini seperti yang disampaikan kepada kami oleh Guru Mulia Syeikh Nazrul Nasir hafizhahullahu Ta’ala, seperti yang pernah disebutkan oleh Imam Syibli rahimahullahu Ta’ala.

Setiap kali selepas solat, bacalah ayat 128 dari Surah At-Taubah,

لَقَدۡ جَآءَكُمۡ رَسُولٞ مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ عَزِيزٌ عَلَيۡهِ مَا عَنِتُّمۡ حَرِيصٌ عَلَيۡكُم بِٱلۡمُؤۡمِنِينَ رَءُوفٞ رَّحِيمٞ

(“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.”)

Setelah membaca ayat tersebut, kemudian bacalah selawat yang ringkas dengan lafaz berikut,

صلى الله عليك محمد

Selawat ini telah diamalkan oleh Imam Syibli selama 80 tahun setiap kali selepas solat. Pada suatu hari, Syeikh Abu Bakar rahimahullahu Ta’ala telah bermimpi bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bangun dari tempat duduknya dan mencium kening Imam Syibli rahimahullahu Ta’ala.

Selawat ini kemudiannya, Guru Mulia Syeikh Nazrul Nasir telah meminta izin kepada Syeikh Dr. Yusri Rusydi Sayyid Jabr Al-Hasani hafizhahullahu Ta’ala dan beliau telah membenarkan untuk membaca dengan lafaz berikut;

صلى الله عليك رسول الله

2. Selawat Nabi Khidir

Selawat ini seperti yang pernah disebutkan oleh Tuan Guru Syeikh Zainul Asri hafizhahullahu Ta’ala. Selawat ini hanya memerlukan masa tidak sampai 20 minit sahaja untuk melengkapkan sebanyak 1000 kali.

Lafaz selawatnya ialah,

صلى الله على سيدنا محمد

Selawat Nabi Khidir ini juga merupakan selawat yang disyorkan oleh Tuan Guru Syeikh Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki hafizhahullahu Ta’ala.

3. Selawat Jibril

Perbezaan antara selawat ini dengan selawat Nabi Khidir hanyalah pada lafaz “Sayyidina” (سيدنا). Selawat Jibril tidak mengandungi lafaz “Sayyidina” seperti berikut,

صلى الله على محمد

Selawat ini telah disebutkan kepada kami oleh Guru Mulia Ustaz Suhaimi hafizhahullahu Ta’ala ketika beliau berkongsikan 4 rahsia mengenai Selawat Burdah di Masjid Nabawi, Madinah Al-Munawwarah.

Beliau telah berpesan bahawa untuk beramal dengan selawat ini sekurang-kurangnya sebanyak 500 kali selepas solat Isyak.

4. Selawat Dhamir

Selawat ini seperti yang disebutkan oleh Guru Mulia Syeikh Nazrul Nasir hafizhahullahu Ta’ala ketika di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Ma’had As-Syatirie (Pondok Sungai Dedap) di Kedah.

Beliau menyampaikan selawat ini seperti yang pernah disebutkan oleh Guru Mulia Ustaz Salahuddin Harun hafizhahullahu Ta’ala. Selawat ini dapat diselesaikan sebanyak 1000 kali dalam tempoh kurang daripada 15 minit.

Telah disebutkan oleh Sayyidil Imam Khirib rahimahullahu Ta’ala, bahawa sebelum membaca Selawat Dhamir, hendaklah terlebih dahulu membaca ayat ke-56 dari Surah Al-Ahzab,

إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَٰئِكَتَهُۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِيِّ يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ صَلُّواْ عَلَيۡهِ وَسَلِّمُواْ تَسۡلِيمًا

(“Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad صلى الله عليه وسلم); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”)

Kemudian barulah membaca selawat dengan lafaz “Allahumma solli alaih” (اللهم صل عليه). Dinamakan Selawat Dhamir, kerana kita hanya menyebutkan kata ganti nama Rasulullah pada selawat iaitu pada huruf ha (“ه”).

Guru Mulia Syeikh Nazrul Nasir berpesan agar selawat ini diamalkan sekurang-kurangnya 100 kali pada sebelah pagi, dan 100 kali pada sebelah petang.

Setiap kali dibaca sebanyak 100 kali, maka 30 hajatnya di dunia dan 70 hajatnya di akhirat akan diperkenankan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم والله اعلم

-Rasyid Al-Kinti

comments powered by Disqus